MCMC tidak intip atau pantau kandungan WhatsApp: Salleh

KUCHING, 8 Syaaban 1438H, Jumaat – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanyalah sebuah badan pengawal selia dan tidak memantau atau mengintip perkara yang dimuatkan pengguna WhatsApp dalam aplikasi itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Mesej yang tular baru-baru ini mendakwa suruhanjaya berkenaan memantau kandungan dalam aplikasi itu adalah “sama sekali palsu”, katanya kepada media selepas merasmikan ‘Biz World’ Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2017 di sini hari ini.

Salleh berkata selama ini kementerian berkenaan hanya memberi nasihat kepada masyarakat umum supaya tidak menyalahgunakan media sosial berikutan mereka terikat kepada undang-undang dan peraturan negara.

“Sungguhpun kita mempunyai kebebasan untuk bercakap dan menulis, namun kita tidak mempunyai kebebasan untuk memuatkan dakwaan atau khabar angin yang boleh mengancam kestabilan negara dan akhirnya memusnahkannya.

“MCMC hanyalah badan pengawal selia. Pihak berkuasa lain yang akan mengambil tindakan perlu terhadap sesiapa yang didapati memuatkan dakwaan dan berita tidak berasas dalam sosial media,” katanya.

Mengenai rancangan Sarawak untuk menubuhkan agensi komunikasi dan multimedianya sendiri, Salleh berkata ia merupakan perkembangan positif bagi negeri ini untuk terus maju.

“Dengan adanya agensi khusus seperti itu, Sarawak boleh mempercepatkan proses menaik taraf sistem ICT di negeri ini.

“Di peringkat pusat, kami sedia memberi kerjasama penuh. Kami mungkin mewujudkan jawatankuasa antara kami dan negeri untuk membantu melancarkan apa yang telah dirancangkan oleh negeri,” katanya.

Selain itu, beliau berkata peruntukan turut disediakan bagi pembinaan menara komunikasi untuk meningkatkan lagi kelajuan dan kadar penembusan.

“Kami akan bertemu Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg tengah hari ini untuk membincangkan lebih lanjut tentang perkara ini,” katanya. – Bernama

The post MCMC tidak intip atau pantau kandungan WhatsApp: Salleh appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?