Organisasi perlu modal insan berkualiti untuk cipta kejayaan: Raja Muda Perlis

KANGAR, 15 Syaaban 1438H, Jumaat – Modal insan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mempunyai tahap profesionalisme yang cemerlang adalah faktor utama diperlukan oleh sesebuah organisasi untuk mencipta kejayaan.

Menyedari hakikat itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah semua agensi agama Islam negeri Perlis perlu melaksanakan program serta inisiatif baharu untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran kakitangannya .

“Saya berharap tindakan ini menghasilkan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat selain komitmen dan produktiviti serta sumbangan setiap modal insan sentiasa menjadi relevan selaras dengan hala tuju organisasi,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), bertitah demikian pada majlis Apresiasi Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 agensi-agensi agama Islam negeri di bawah MAIPs di sini, malam tadi.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis ,Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia Negeri, Khairi Hassan.

Baginda turut melahirkan kesyukuran dengan prestasi MAIPs kerana berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti dan program mengikut sasaran yang ditetapkan di samping berlaku beberapa lonjakan positif dalam pencapaian dan hala tuju MAIPs.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin, selain kutipan zakat dan agihan zakat meningkat sebanyak 16 peratus pada tahun lepas berbanding 2015, MAIPs dianugerahkan lima bintang dari segi pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntibiliti 2016 sempena Hari Audit Negara 2016 pada 22 Ogos 2016.

Dari aspek pengantarabangsaan pula, MAIPs berjaya melaksanakan program-program yang mengharumkan nama Perlis antaranya menerima kunjungan tokoh-tokoh dakwah antarabangsa seperi Dr Zakir Naik, Dr Bilal Philips, Ustaz Nouman Ali Khan serta melaksanakan program Tautan Ukhwah bersama pelajar Malaysia di luar negara dan misi kemanusiaan ke Kem Pelarian Syria di Jordan, tahun lepas.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Khas Rakan Kolaborasi MAIPs kepada Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Datuk Mohd Najib Abdullah.

Bekas pengarah Jabatan Agama Islam Perlis, Mohammad Sokrio Husin pula menerima Anugerah ‘Jasamu Dikenang ‘ dan Basri Baharum menerima Anugerah Khas Perkhidmatan Lama.- Bernama

The post Organisasi perlu modal insan berkualiti untuk cipta kejayaan: Raja Muda Perlis appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian