Pertemuan dengan Trump positif, kata Mahmoud Abbas
RAMALLAH, 7 Syaaban 1438H, Khamis – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, mesyuarat pertama beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meninggalkan harapan yang tinggi dalam usaha memulakan semula rundingan yang lama terhenti antara negara itu dan Israel.
Abbas berkata, meskipun pertemuan mereka tidak membincangkan secara khusus mengenai langkah memulakan rundingan antara Palestin-Israel, namun ia mengharapkan sesuatu yang baik kepada negara itu.
Katanya, beliau percaya pentadbiran Trump boleh memainkan peranan penting sebagai orang tengah kepada proses itu.
“Apa yang diperlukan adalah untuk membawa kedua-dua pihak bersama-sama, dan memudahkan perkara (rundingan) di antara mereka,” katanya kepada pemberita, selepas mesyuarat di White House.
Abbas mengulangi kehendaknya kepada Trump di White House untuk menubuhkan sebuah negeri di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan timur Baitulmaqdis.
Abbas menyifatkan pertemuannya dengan Trump sebagai suatu yang positif termasuk membina harapan dalam memberi hasil kepada rakyat Palestin.
“Setakat ini, kita tidak bercakap mengenai mekanisme, tetapi hubungan antara kami (Palestin) dan Amerika bermula dan akan diteruskan,” katanya.
Katanya, beliau sedia untuk bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan mencadangkannya untuk mengadakan rundingan.
“Kami telah merancang untuk bertemu di Moscow, tetapi dia (Netanyahu) tidak muncul,” katanya.- Agensi
The post Pertemuan dengan Trump positif, kata Mahmoud Abbas appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan