Tiada bukti pakatan harapan dapat tumbangkan kerajaan PRU14: PAS
KOTA BHARU, 13 Syaaban 1438H, Rabu – Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, tiada fakta serta bukti khusus yang boleh membayangkan pakatan harapan mampu menumbangkan kerajaan sedia ada pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Beliau berkata, setakat ini tiada lagi sebarang ramalan dibuat mengenai perkara itu dan jikapun ada, PAS tidak sesekali gentar malah terus optimis dengan kekuatan yang ada.
“Setakat ini tiada lagi ramalan kata pakatan akan menang, ataupun mereka sekuat parti-parti lain,” katanya yang hadir pada Seminar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kelantan, hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan UMNO dan PAS perlu meraikan persamaan yang ada di antara kedua-dua parti itu, beliau berkata, sehingga kini PAS dan UMNO tidak mempunyai apa-apa persefahaman dan parti itu masih lagi musuh tradisi PAS.
Beliau berkata, meskipun PAS meraikan hubungan dengan UMNO dan BN, namun PAS masih kukuh bersama blok ketiga yang telah dibina dan bersedia segala kemungkinan pada PRU14 kali ini.
“Sememangnya kita meraikan hubungan (kerajaan dan kerajaan) itu demi kepentingan rakyat, apa pun yang melibatkan hubungan tersebut, kita hormatlah bagi memastikan hak rakyat dapat diperjuangkan, namun dari segi politik, kita masih seperti dulu,” katanya.
The post Tiada bukti pakatan harapan dapat tumbangkan kerajaan PRU14: PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan