Gesa PM ganti Noh Omar dengan orang lebih layak: Iskandar Samad

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Syawal 1438H, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa supaya menggantikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dengan pemimpin lain yang lebih profesional.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar A Samad menyifatkan Noh Omar lebih suka bermain politik dan mengambil sikap berkonfrontasi dengan kerajaan negeri.

Katanya, sikap berkenaan hanya akan mendatangkan kerugian kepada rakyat.

“Saya melihat Timbalan Menteri sekarang, Datuk Halimah Mohamed Sadique lebih berwibawa dan terbuka.

“Lagipun beliau telah menjadi Timbalan Menteri sejak 2013 maka lebih berpengalaman dari Tan Sri Noh. Maka adalah wajar beliau menggantikan Tan Sri Noh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, jika perlu melantik pemimpin dari Selangor, Iskandar yang juga Naib Presiden PAS mencadangkan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizan Ibrahim sebagai calon menggantikan Noh Omar.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan di dalam isu-isu perumahan demi kebajikan rakyat.

“Kami tidak bercakap kosong kerana telah memberikan keistimewaan kepada projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Perkhidmatan Awam 1 Malaysia (PPA1M) sama seperti projek Rumah Selangorku.

“Tetapi Menteri yang terlibat lebih suka mengambil sikap untuk berkonfrontasi dengan kerajaan negeri,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan negeri Selangor tidak boleh dipersalahkan jika mengambil tindakan balas.

“Perlu diingatkan kerajaan negeri tidak menghalang pelaksanaan projek-projek PR1MA dan PPA1M di Selangor. Mereka hanya perlu patuh kepada peraturan yang sama seperti pemaju swasta yang lain,” katanya.

The post Gesa PM ganti Noh Omar dengan orang lebih layak: Iskandar Samad appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?