KPDNKK tunggu sampel ‘beras plastik’

JOHOR BAHRU, 15 Ramadan 1438H, Sabtu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menghantar tiga sampel beras yang didakwa sebagai ‘beras plastik’ dari sebuah pasar raya di Kulai ke Jabatan Kimia.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat berkata pihaknya telah membuat tinjauan ke pasar raya itu pada 7 Jun lepas dan mengarahkan agar produk tersebut tidak dijual kepada pengguna.

“Keputusan daripada sampel tersebut akan dikeluarkan secepat mungkin. Sekiranya benar produk tersebut mengandungi plastik, kita akan ambil langkah susulan bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sehingga kini, pihaknya hanya menerima satu laporan berkaitan kes ‘beras plastik’ ini dan akan mengambil tindakan sama sekiranya terdapat aduan lain.

Beliau berkata, kes tersebut dilaporkan berlaku di Kulai dan sebarang tindakan larangan jualan hanya boleh diambil sekiranya memperolehi bukti yang kukuh.

“Produk beras tersebut dialamatkan di Kedah, jadi kita meminta bantuan daripada KPDNKK cawangan Kedah bagi membantu menentukan kesahihan produk berkenaan,” kata Aris.

Terdahulu, isu ‘beras plastik’ ini tular selepas seorang lelaki membuat laporan polis apabila mendapati beras yang dibelinya sukar untuk dikunyah.

Lelaki itu, P. Bhaskaran, 61, juga mendakwa telah bertindak membakar beras berkenaan dan mendapati ia mengeluarkan bau seperti plastik.

Menurutnya, dia membeli beras 5 kilogram itu di sebuah pasar raya di Kulai pada harga RM21.85.- Bernama

The post KPDNKK tunggu sampel ‘beras plastik’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian