Liga Islam Sedunia tamatkan keahlian Qaradawi, gesa tolak ideologi
MAKKAH, 15 Ramadan 1438H, Sabtu – Liga Islam Sedunia hari ini mengumumkan pembatalan keahlian ulama Islam terkenal Yusuf al-Qaradawi selepas nama beliau diletakkan dalam senarai pengganas yang dikeluarkan oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir.
Liga itu dalam pengumuman menerusi akaun Twitter rasminya berkata, berdasarkan klasifikasi yang dikeluarkan, Liga Islam Sedunia menamatkan keahlian Yusuf al-Qaradawi dalam Akademik Fiqh.
Liga itu juga mengumumkan sokongan penuh terhadap kenyataan dikeluarkan Arab Saudi, Mesir, UAE dan Bahrain berkenaan senarai pengganas itu.
“Pengkelasan ini mengesahkan Arab Saudi komited melawan keganasan dan untuk menghalang sumber kewangan dan sokongan kepada pengganas.
“Komuniti antarabangsa mesti memperhebatkan usaha untuk menangani aktiviti pertubuhan pengganas dan penyokong mereka,” kata liga itu.
Liga itu juga menyeru mereka yang ada kaitan dengan nama disenaraikan, terutama anggota jawatankuasa dan kepimpinan mana-mana institusi untuk mengisytiharkan penolakan ideologi dibawa Qaradawi.
Semalam, empat negara Arab itu mengumumkan nama individu dan entiti yang mendapat sokongan Qatar sebagai kumpulan dan pengganas yang dikehendaki.
Kenyataan itu termasuk 12 entiti dan 59 individu yang tinggal dan disokong Qatar, yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan keamanan di empat negara itu dan rantau Teluk. – Agensi
Empat negara letak Qaradawi dalam senarai pengganas dikehendaki
The post Liga Islam Sedunia tamatkan keahlian Qaradawi, gesa tolak ideologi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan