Pemuda Isma gesa penganjur Jerusalem Jubilee tampil mohon maaf
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 12 Ramadan 1438H, Rabu – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa penganjur Jerusalem Jubilee untuk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Sambil menyokong tindakan kerajaan Melaka dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan acara itu, Ketua Pemuda Isma, Muhammad Farid Hussin berkata, siasatan terperinci terhadap penganjur perlu diteruskan.
Beliau menyifatkan penganjuran berkenaan sebagai satu bentuk provokasi melampau yang mencabar kedaulatan negara.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan dan mempunyai majoriti rakyat beragama Islam, tidak mengiktiraf negara haram Israel dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.
“Kami melihat penganjuran sambutan ini adalah satu bentuk provokasi melampau yang mencabar kedaulatan negara. Jadi sambutan untuk meraikan kemenangan Israel ke atas negara Arab dalam Perang 6 Hari dan penguasaan Israel ke atas Baitul Maqdis adalah satu bentuk penghinaan ke atas negara dan umat Islam di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, walaupun doktrin dan agama lain bebas diamalkan di Malaysia, namun sebarang tindakan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip moral dan menggugat ketenteraman awam adalah dilarang, sebagaimana termaktub dalam Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, Pemuda Isma ingin menegaskan bahawa pembatalan sambutan sahaja tidak mencukupi, namun, pihak berkuasa terutamanya Kementerian Dalam Negeri perlulah mengambil tindakan yang lebih tegas dan melakukan siasatan terperinci ke atas pihak penganjur.
“Perkara yang sensitif seperti ini perlulah dicantas dari pada peringkat awal lagi dari akar umbinya,” katanya.
Malah, Muhammad Farid turut menegaskan bahawa ancaman penyebaran agama dan doktrin yang bertentangan dengan Islam adalah perkara realiti yang kini giat dijalankan.
Justeru beliau menyeru NGO dan parti politik Islam supaya bekerjasama dalam membendung gejala itu, termasuk menyeru semua pihak menjaga ‘tanah’ daripada dicemari agenda asing yang mendatangkan bahaya kepada agama, bangsa dan negara.
“Bumi Melaka pada satu masa dahulunya adalah sebuah empayar Islam yang gah dan disegani tapi akhirnya jatuh ke tangan Portugis pada 1511M, kini setelah hampir lima abad berlalu, pastinya kita tidak mahu tanah yang sama dikotori kembali oleh tangan-tangan durjana,” katanya.
Sebelum ini, Ismaweb.net mendedahkan satu sambutan besar-besaran mengenai kejayaan rejim Yahudi Israel menawan Baitulmaqdis 50 tahun lalu, serta menyokong penubuhan negara Israel akan diadakan di Calvary Life Assembly Chinese (CLAC), Melaka pada 15 Jun hingga 18 Jun ini, dengan berselindung di sebalik upacara keagamaan Kristian dan sambutan Jubli Emas penubuhan ASEAN.
The post Pemuda Isma gesa penganjur Jerusalem Jubilee tampil mohon maaf appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan