Polis akan dapatkan keterangan doktor rawat Zulfarhan
KUALA LUMPUR, 9 Ramadan 1438H, Ahad – Polis akan mendapatkan keterangan doktor sebuah klinik swasta dipercayai di Bangi, Selangor yang merawat Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain dalam masa terdekat.
Mangsa, dipercayai mendapatkan rawatan sebanyak dua kali daripada doktor itu iaitu pada 27 dan 31 Mei yang lalu.
Bagaimanapun, timbul persoalan mengapa doktor tersebut tidak menyarankan agar mangsa segera dihantar ke hospital meskipun menyedari kecederaan yang dialami parah sebaliknya menyuruh mangsa dibawa semula untuk rawatan susulan sehingga mangsa akhirnya meninggal dunia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat ketika dihubungi akhbar tempatan mengesahkan pihaknya akan memanggil doktor berkenaan dalam masa terdekat bagi diambil keterangan.
Namun, beliau enggan mengulas mengenainya sebaliknya meminta semua pihaknya agar memberikan masa kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Pada masa sama, Fadzil memaklumkan, pihaknya sedang menumpukan siasatan terhadap 36 suspek terdiri daripada 32 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan empat pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang kini direman sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan.
“Kita akan siasat semua kemungkinan termasuk ada suspek lain yang terlibat. Buat masa ini, kita tidak boleh mendedahkan maklumat kerana siasatan masih berjalan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihaknya mempunyai maklumat menge¬nai bomoh yang dikatakan me¬nuduh mangsa mencuri komputer riba hingga menyebabkannya didera, Fadzil memberitahu, pihaknya masih menyiasat dakwaan itu sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Masih terlalu awal untuk saya bercakap mengenai dakwaan itu kerana kita masih belum selesai ambil keterangan semua suspek,” katanya.
The post Polis akan dapatkan keterangan doktor rawat Zulfarhan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan