Terapi Stress Melalui Solat Tahajud

Bulan Ramadan menjengah kembali. Ia sinonim dengan bulan bagi umat Islam mengimarahkannya dengan beramal ibadat. Padanya diwajibkan puasa disiang hari. Diikuti solat sunat terawih pada malam hari. Selanjutnya solat malam atau tahajud sebelum sahur dan pelbagai lagi amal-amal ibadat yang lain.

Sesungguhnya sebaik-baik amal adalah istiqomah walaupun ia sedikit. Namun, tidak perlu lama. Apabila berlalunya Ramadan, saat tibanya 1 Syawal, kita sudah merasakan sukarnya bagi kita untuk terus melazimi amal ibadat yang biasa kita lakukan di bulan Ramadan.

Jadi bagaimana caranya untuk membantu kita terus istiqomah? Mencari why factor dan memahaminya dalam melakukan sesuatu adalah salah satu caranya. Apa kata kalau kita faham sedikit kelebihan ibadat-ibadat itu dari sudut kesihatan? Mungkin boleh memberikan motivasi.

Menjadi individu yang sihat dan cergas adalah amat dituntut bagi seorang muslim. Untungnya sebagai seorang muslim, hikmah disebalik setiap ibadah kita sehari-hari terkandung kelebihan dan pelbagai manfaat dari sudut kesihatan. Ia disokong dengan kajian ilmiah oleh pakar sama ada dari seorang muslim mahupun bukan Islam.

Saya kongsikan salah satu manfaat solat tahajud dari segi kesihatan agar mudah-mudahan kita mampu untuk terus istiqomah melaksanakannya.

Sabda nabi, mafhumnya “Solat tahajud dapat menghapus dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindarkan diri dari penyakit” (H.R At-Tirmidzi)

Daripada hadith ini, Dr Moh. Sholeh dari Universiti Airlangga Surabaya telah berjaya membuat kajian ilmiah perubatan berkaitan ibadat yang luar biasa ini dan menghasilkan buku Terapi Solat Tahajud.

HORMON KORTISOL

Hormon kortisol atau lebih dikenali dengan hormon stres dirembeskan sekiranya badan berkeadaan stres atau apabila ia diperlukan. Ia penting bagi metabolisme badan sebagai fungsi utamanya. Bukanlah ia hormon yang membuatkan kita merasa stres, tetapi ia berfungsi untuk mempersiapkan tubuh badan kita menghadapi keadaan stres tersebut.

Secara fisiologinya hormon ini akan dirembes mengikut ritma sirkadian di mana rembesannya bermula pada awal pagi (waktu tahajud) hingga mencapai kadar tertinggi pada siang hari (waktu tengahari). Inilah kebiasaannya masa-masa yang kita mengalami stres dalam menjalani kehidupan dan pekerjaan seharian. SubhanaAllah, Allah SWT telahpun menyiapkan fizikal kita untuk berdepan dengan keadaan stres tersebut.

TAHAJUD DAN HORMON KORTISOL

Sungguhpun hormon kortisol berfungsi untuk berhadapan dengan stres badan, ia juga dikatakan sebagai hormon ‘jahat’ kerana rembesannya yang berlebihan boleh menyebabkan sistem imun badan menjadi lemah atau rendah. Sistem imun yang lemah akan menjadikan kita rentan kepada penyakit.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menurunkan hormon pada kadarnya (tanpa terganggu fungsi fisiologi badan) sehingga kita juga sihat dengan sistem imun badan yang tinggi dan mampu menghadapi tekanan sehari-hari?

Solat tahajud adalah kuncinya!

Dalam kajian Dr Sholeh yang berjudul “Pengaruh Solat Tahajud Terhadap Peningkatan Perubahan Respon Ketahanan Tubuh Imunologik: Suatu Pendekatan Psikoneuroimunologi”, kadar hormon kortisol yang stabil relatifnya lebih rendah dapat dicapai  pada pengamal solat tahajud. Kadar sistem imun pula didapati terdapat signifikan peningkatannya. Ramadhani (2007) ms 51.

Hal ini berlaku disebabkan solat tahajud menghasilkan persepsi dan motivasi positif, memperbaiki suatu mekanisme tubuh dalam mengatasi perubahan yang dihadapi atau beban yang diterima. Mekanisme ini dikenali sebagai coping. Ia terbentuk melalui belajar dan mengingat kesan dari solat tahajud yang konsisten, khusyuk dan ikhlas.

Dengan adanya respons emosi positif dan coping yang efektif, kesan stres dapat dikurangkan. Coping  membantu seseorang individu mengubah persepsi dan sudut pandang apa saja stres atau keadaan yang dihadapi dengan lebih positif. Maka terhasil hati yang lebih tenang dan penyelesaian masalah yang lebih rasional.

SOLAT TAHAJUD PENGUBAT STRES

SubhanaAllah.

Begitulah ironinya, di sebalik hikmah mengapa pada awalnya diwajibkan solat tahajud sebelum turunnya ayat ke 20 surah Al-Muzammil, yang kemudiannya menjadi sunat.

“Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya),” (Al-Muzammil:2)

Inilah bekal yang diberikan oleh Allah ‘Azza wa Jalla kepada hambaNya bagi membawa amanah yang cukup berat, mentaati perintah-perintahNya yang memerlukan tekad yang kuat, keyakinan yang tinggi dengan pelbagai rintangan yang mendatang.

“Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu,”(Al-Muzammil:5)

Tidak dinafikan, apa sahaja kerjaya dan posisi kita, amanah dan tanggungjawab kita, tentu sahaja kita tidak terlepas dengan berhadapan pelbagai tekanan dan cabaran. Secara global, 450 juta individu di seluruh dunia mengalami gangguan mental.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (2015) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati “ prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 29.2%”. Ia dianggarkan seramai 4.2 juta orang. Ini bermaksud 1 dalam 3 masyarakat Malaysia mengalami isu yang berkait dengan masalah mental!

Pelbagai faktor boleh dikaitkan sebagai punca masalah mental. Kurang kemahiran daya tindak atau kita namakan sebagai poor coping skill lebih memburukkan keadaan.

Islam sudah ada bersama dengan penyelesaiannya bagi setiap permasalahan. Semoga dengan perkongsian yang sedikit ini mudah-mudahan memberikan kita lebih kefahaman dan motivasi untuk istiqomah menjaga solat tahajud dan juga amal-amal ibadat kita yang lainnya. Seharusnya kita sebagai daie daieyah lebih utama untuk menjaganya sebagai bekalan untuk terus tsabat di jalanNya.

InshaAllah.

 

DR NORHIDAYU BT KAMISAN

Pegawai Perubatan
Aktivis Isma Cawangan Ipoh

 

 

 

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian