‘Biadap’ Beer Festival 2017

Saya pernah mengajar di sebuah Sekolah Tamil di kawasan Kuala Lipis sekitar tahun 2004-2006. Pengalaman yang menarik dalam sejarah perguruan saya. Anak-anak di sekolah tamil ini kebanyakannya cergas, aktif dan lasak. Mungkin suasana kehidupan di ladang getah membuatkan tingkah laku mereka begitu. Ramai juga yang bijak-bijak. Menguasai bahasa melayu dan juga bahasa Inggeris dengan baik.

Namun sesuatu yang agak menyedihkan saya pada ketika itu ialah apabila saya melihat suasana kehidupan bapa-bapa mereka. Rutin si bapa pada setiap pagi akan berkumpul di bawah pokok dihadapan kedai runcit sambil meneguk samsu haram. Untuk yang berkemampuan sedikit mereka akan minum Carlsberg atau Guinness Stout sampai bertin-tin. Kesudahannya mereka akan mabuk dan tidak bekerja. Tinggallah si ibu yang menjinjit pisau getah dan baldi masuk ke ladang dan membanting tulang. Kasihan isteri dan anak-anak mereka.

Pernah berlaku beberapa kali beberapa orang dari mereka yang meneguk samsu haram ini dimasukkan ke hospital akibat keracunan arak. Bahkan ada yang mati kerana kes tersebut. Namun masih tidak cukup untuk menjadi teladan kepada yang lain. Tidak hairanlah kes sebegini berlaku. Apatah lagi apabila melihat kepada data yang dibentangkan menerusi satu kajian yang menunjukkan arak menjadi punca kematian 3.5% penduduk dunia. Meletakkan ianya sebaris dengan ancaman batuk kokol dan juga malaria. 5 kali ganda dari punca kematian disebabkan dadah. Di India ianya menjadi punca utama kematian golongan muda.

Baru-baru ini telah wujud usaha untuk mempromosikan arak secara besar-besaran di tanah air kita. Dengan tajuk Better Beer Festival 2017 ianya seolah-olah cuba mengembalikan nostalgia kempen ‘Guinness Stout is good for you’ di Malaysia yang mempromosikan arak sebagai minuman yang dikaitkan dengan kekuatan seksual, kuasa dan kejayaan. Ironinya kempen ini telah berjaya menarik orang-orang Melayu dari kelompok pekerja bawahan untuk meminum arak.

Entah apa tujuannya perlaksanaan festival ini pun saya tidak pasti. Dan pastinya usaha tersebut tidak dapat diterima oleh akal waras seorang manusia yang jelas dan tahu tentang bahaya arak. Yang pasti ianya selaras dengan strategi baru syarikat pengeluar arak yang menjadikan negara sedang membangun sebagai lokasi strategik pasaran mereka.

Dalam satu tinjauan yang dibuat oleh Maria Assunta dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Asia termasuklah Malaysia menjadi sasaran syarikat-syarikat pengeluar arak untuk meluaskan pasaran mereka. Justeru negara-negara ini khususnya Malaysia menjadi lokasi baru untuk mereka menempatkan peruntukan pengiklanan mereka yang cukup besar. Barangkali mereka ini suka melihat anak-anak muda di Malaysia ini dirosakkan oleh arak yang disifatkan sebagai ibu segala maksiat ini.

Negara-negara Eropah sedang bergelut menyelesaikan isu remaja muda yang mula mengambil arak secara serius. Di Filipina usia pengambilan arak direkodkan bermula pada umur 12 tahun. Di Thailand 50% dari peminum arak adalah mereka yang mula meminum arak pada usia 15 tahun. Paling mengejutkan dalam dapatan tinjauan persatuan pengguna Pulau Pinang 45% dari remaja di bawah umur 18 tahun di Malaysia telah mula mengambil arak.

Barangkali inilah hasrat pejuang-pejuang Better Beer Festival 2017 ini. Melahirkan generasi yang mencintai dan menggilai arak supaya orang-orang ini boleh dikhadamkan oleh mereka.

Menghalang perlaksanaan Better Beer Festival bukanlah bererti menentang kebebasan. Bahkan ianya adalah satu usaha untuk melindungi dan memandaikan masyarakat. Ianya bukan tindakan keras dan agresif tetapi lebih kepada perasaan kasih sayang serta keinginan untuk saling melindungi antara satu sama lain. Tidak kira apa agama atau bangsa kita, semua kita jelas tentang keburukan dan najitah yang tidak baik dari pengambilan arak dalam kehidupan.

Penganjuran Better Beer Festival 2017 ini adalah satu tindakan biadap untuk mengangkat nama Malaysia dengan imej jahiliah dan tidak bertamadun. Banyak lagi sisi positif dalam negara yang boleh diangkat untuk membina imej negara atau menarik pelancong untuk hadir ke Malaysia.

Justeru harus buat semua yang celik , tidak kira apa agama atau bangsa seharusnya bersatu menolak dan membantah penganjuran program yang sama sekali tidak mendatangkan kebaikan kepada warga Malaysia keseluruhannya. Tidak kira disudut manapun program sebegini tidak harus dilaksanakan di atas tanah berdaulat ini.

Justeru, saya dengan sekeras-kerasnya menolak penganjuran Better Beer Festival 2017 tidak kira di mana sahaja ianya dianjurkan. Dan keputusan ini adalah MUKTAMAD!

Madi

Asmadi Abdul Samad
Timbalan Pemuda ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?