Insya-Allah syahid, kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah
KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1438H, Khamis – “Mereka ini, insya-Allah mati syahid,” ringkas kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah, Muhammad Zahid Mahmod.
Ketika ditemui pemberita di surau Iftifaqiyah, Keramat di sini, hari ini, beliau berkata, pelajarnya adalah kanak-kanak kecil yang sanggup meninggalkan keluarga demi untuk belajar agama dan al-Quran.
“Budak-budak yang masih kecil ini, kita anggap mereka mati syahid. Mereka sanggup tinggalkan ibu bapa, tinggalkan masakan air tangan bonda, adik beradik dan masa bermain tinggal di sini semata-mata untuk belajar agama,” katanya.
Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut kerana mendapat nasihat pihak berkuasa bagi mengelakkan percanggahan maklumat.
Dalam tragedi kebakaran di pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat di ibu negara pagi tadi, 23 pelajar dan dua guru maut selepas gagal menyelamatkan diri.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar mangsa yang rentung bagi menghormati ahli keluarga.
Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha turut mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa dalam tragedi itu.
“Jakim juga merayu dan menasihati mana-mana pihak untuk tidak menyebarkan sebarang gambar dari tempat kebakaran untuk menghormati mangsa dan keluarga mereka.
“Marilah kita berharap tindakan kita tidak menjadi fitnah dan mewujudkan persepsi negatif terhadap agama Islam yang indah ini,” katanya.
The post Insya-Allah syahid, kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan