Jumlah penagih dadah meningkat jika rokok ‘kiddie pack’ dijual semula
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin dan Che Siti Rekembang Hasbi
PUTRAJAYA, 29 Zulhijjah 1438H, Rabu – Kira-kira 90 peratus penagih dadah bermula dengan tabiat merokok, dan tidak mustahil peratusan itu akan meningkat jika kerajaan membenarkan kewujudan semula rokok dalam kotak bersaiz lebih kecil atau ‘kiddie pack.
Bimbang dengan statistik itu, Setiausaha I-Medik Wilayah Persekutuan/Selangor, Dr Farah Inani Abd Razak juga yakin gejala penyeludupan rokok secara haram akan semakin meningkat.
“Masyarakat, terutama remaja akan lebih tertarik dengan pek yang ditawarkan. Hal ini akan turut menyebabkan jumlah perokok dalam kalangan remaja di Malaysia akan meningkat mendadak kerana kiddie pack lebih murah dan senang dibawa berikutan saiznya yang lebih kecil berbanding yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan petisyen bantahan cadangan mewujudkan kembali rokok pek kecil yang ditandatangani lebih 34,000 rakyat Malaysia kepada Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Dr Farah Inani berkata, pek kecil juga tidak membawa sebarang faedah yang positif kepada masyarakat, terutama remaja dan kanak-kanak.
“Kita tak perlu mengaitkan perkara lain, tetapi saya ingin menegaskan bahawa rokok itu sendiri membawa kemudaratan kepada semua golongan dari segi kesihatan seperti penyakit jantung, paru-paru dan kanser mulut. Dan kami yakin kos rawatan pesakit yang tededah dengan rokok di usia muda akan lebih membebankan kerajaan
“Kami daripada Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berharap agar kerajaan tidak membenarkan penjualan rokok dalam pek kecil ini,” katanya.
Dr Farah berkata, bukan sahaja pihak NGO yang menentang isu ini, bahkan rakyat Malaysia juga turut sama menyokong bantahan ini.
“Ini sekali gus menolak alasan industri rokok dan tembakau yang menyatakan bahawa ini adalah satu cara untuk menghentikan gejala penyeludupan rokok,” tegasnya.
The post Jumlah penagih dadah meningkat jika rokok ‘kiddie pack’ dijual semula appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan