Pesta arak: PAS hairan pegangan demokrasi puak liberal
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
BANGI, 30 Zulhijjah 1438H, Khamis – PAS meluahkan rasa hairan dengan amalan demokrasi yang cuba ditonjolkan puak liberal dalam menuntut hak penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017 (BBF17).
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, puak berkenaan lantang mempertahankan hujah mereka kononnya penganjuran pesta demikian adalah hak orang bukan Islam di negara ini, dan pihak menghalang bermakna menyempit demokrasi serta menolak kebebasan.
“Apabila kita menghalang pesta arak, dituduhnya tidak hormat hak orang lain. Kenyataan ini mengguris perasaan umat Islam dan bersifat provokasi.
“Ketika RUU 355 hendak dibentang, ditentang habis-habisan walaupun tidak mengganggu orang bukan Islam. Proses pula dibuat menurut demokrasi. Apakah demokrasi hanya hendak ikut selera nafsu dan agenda politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Idris berkata, golongan berkenaan disifatkan tidak kisah sekiranya rakyat menjadi pemabuk, asalkan cita-cita politik mereka tercapai.
“Selamatkah negara ini jikalau manusia ini diberi mandat untuk memerintah negara. Tidak ada pesta arak pun sudah parah akhlak rakyat hari ini.
“Tidak cukup lagikah pusat hiburan yang bercambah dengan arak di negara ini. Kemudian hendak anjur pula pesta mabuk arak,” katanya.
Jelas beliau, sebagai pemimpin sepatutnya berusaha untuk mendidik masyarakat supaya lebih bermoral, bukan sebaliknya.
Bahkan kata beliau, Singapura sendiri mengawal penggunaan arak dalam rakyatnya, namun Malaysia yang penduduknya majoriti beragama Islam ‘sibuk’ mengadakan pesta arak.
“Golongan seperti inilah cakap berdegar-degar mengenai demokrasi. Apabila dapat kuasa sesama sendiri dicantas dan dipinggir. Golongan inilah cakap berkenaan antirasuah apabila ada kuasa, cakap tidak serupa bikin.
“Memang orang suka mabuk arak, lupa apa yang dicakap dan dibuat. Kalau golongan ini memerintah negara, maka hancur negara.
“Kepimpinan sekarang sudah teruk, nampaknya kalau jenis ini diberi kuasa seperti keluar mulut harimau masuk mulut buaya. Pi mai, pi mai tang tu ja,” katanya.
The post Pesta arak: PAS hairan pegangan demokrasi puak liberal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan