Piala Presiden Isma akan jadi perlawanan yang digeruni
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 25 Zulhijjah 1438H, Sabtu – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) bercita-cita untuk menjadikan Kejohanan Piala Presiden Isma satu perlawanan yang digeruni satu masa nanti.
Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman dalam ucapan perasmiannya hari ini berkata, beliau percaya pihak penganjur akan melakukan yang terbaik tahun demi tahun bagi meningkatkan standard pertandingan.
“Saya percaya tiada NGO yang menganjurkan kejohanan seperti ini. Kita merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan kejohanan bola sepak peringkat nasional.
“Satu masa nanti kita mahu kejohanan ini digeruni. Bila orang tanya pemain datang dari mana? Datang dari pasukan Isma,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pemain yang berjaya melayakkan diri dalam pasukan negeri masing-masing.
“Kerana untuk mewakili negeri bukan mudah, perlu ada tapisan-tapisan. Jadi ini satu kejayaan yang dapat dibanggakan
“Saya percaya kita boleh melakukan yang terbaik,” katanya penuh semangat.
Beliau turut berharap penganjuran pada tahun ini lebih baik dan teratur daripada tahun sebelumnya.
“Saya berharap kejohanan kali ini berjalan dengan lancar dengan semangat kesukanan yang baik serta semangat yang tinggi daripada pemain untuk menjadi johan.
“Kejohanan ini juga diharapkan dapat memupuk persaudaraan dan mengeratkan hubungan silaturahim pelbagai negeri dari seluruh negara,” katanya.
Turut hadir Presiden Isma FC, Haji Mohd Tahir Hamdan, Pengerusi Yayasan Ikhlas, Datuk Rosli Mohd Ramli, Naib Presiden Isma, Abdul Rahman Mt Dali, Timbalan Presiden Isma, Aminuddin Yahya, Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) Zon 23, Husni Abdul Manan, serta beberapa Yang DiPertua Cawangan.
The post Piala Presiden Isma akan jadi perlawanan yang digeruni appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan