‘Rejim musnahkan masjid, tak benarkan kami solat’
KUALA LUMPUR, 30 Zulhijjah 1439H, Khamis – Kezaliman tentera Myanmar terhadap etnik Islam Rohingya seperti sudah tidak tertanggung, sehingga ada antara mereka yang sanggup hidup sebagai pelarian daripada pulang ke negara sendiri.
Dibunuh, dirogol, dibakar menjadi igauan etnik minoriti itu saban hari. Bahkan bagi yang masih hidup, mereka dihalang untuk beribadah menunaikan tuntutan agama. Jika berani berbuat demikian, padah menimpa.
Seorang wanita Islam Rohingya, Thuzar Maung memberitahu, dia sanggup meninggalkan tempat asalnya di Mandalay kerana tekanan regim Mynamar yang menghalang mereka untuk bersolat.
Katanya, jumlah umat Islam dan bilangan masjid yang masih ada tidak seimbang.
“Rejim Myanmar memusnahkan masjid-masjid bagi menafikan hak kami untuk melakukan ibadah,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi kedua dalam persidangan hari ketiga Tribunal Antarabangsa Rohingya di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).
Wanita berusia 40 tahun itu berkata, sebuah masjid yang berusia lebih 100 tahun turut dimusnahkan dengan alasan ia dibina berhampiran dengan kuil Buddha.
“Dokumen pemilikan tanah masjid juga dirampas dan dimusnahkan bagi menghapuskan bukti pemilikan tanah berkenaan oleh umat Islam,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Sithu Barakhat, 25, memberitahu dia pernah melihat perusuh beragama Buddha membunuh umat Islam sewenang-wenangnya di jalanan.
Jelas beliau, rusuhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham antara sepasang suami isteri beragama Islam dengan pemilik kedai emas yang beragama Buddha.
“Ketika saya dikepung oleh perusuh, saya terpaksa menyatakan saya bukan seorang Islam dalam bahasa Myanmar bagi mengelakkan daripada dibunuh dan mereka kemudian mengusir saya,” katanya.
The post ‘Rejim musnahkan masjid, tak benarkan kami solat’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan