‘Tak kisah syahid atau tidak. Yang penting mereka masuk syurga’
LEPAS Subuh pagi tadi Pedang dengar ceramah agama di masjid depan rumah Pedang. Seperti Sabtu dan Ahad minggu-minggu sebelum ni pun memang ada ceramah dan kuliah agama di masjid itu.
Pedang sebut ceramah sebab isinya bercampur-campur. Ustaz yang memberi ceramah tu marah orang itu, marah orang ini. Kalau kuliah agama lain sikit. Lebih banyak tumpu kepada bab-bab agama.
Ada juga yang Pedang setuju dengan ceramah ustaz pagi tadi, yang dibayar menggunakan wang tabung masjid, tapi isinya taklah sebaik mana pun. Ya lah kalau lebih banyak mengata orang ini dan itu, tapi sendiri tak ambil tahu perkembangan, orang akan kata ustaz ni tak membaca.
Ada juga yang Pedang tertarik dengan kata-kata ustaz itu ketika mengulas kebakaran Maahad Tahfiz Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat di Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Ustaz ni kata syahid atau tidak pelajar-pelajar tahfiz yang meninggal dunia itu tak kisah lah. Tapi yang pentingnya mereka berada di situ untuk belajar ilmu dan menghafal al-Quran dan lagi mereka itu kanak-kanak – sudah tentu masuk syurga.
Kata ustaz itu lagi, yang peliknya ialah orang yang mengulas kejadian itu. Macam-macam ulasan dibuat hingga ada yang suruh tutup saja pusat-pusat tahfiz tempat kanak-kanak hendak belajar agama.
“Yang Siti Kassim buat kenyataan bertentangan dengan Islam tak ada pula yang nak ulas. Semua diam,” kata ustaz itu.
Bab inilah yang Pedang kata ustaz ni tak membaca. Sedangkan, pelbagai pihak telah membuat laporan polis dan macam-macam ulasan telah dibuat termasuk oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berhubung kata-kata Siti Kassim itu. Namun, setakat ini, belum ada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa.
Pedang pun rasa pelik juga bab Siti Kassim ni. Polis ke, Jabatan Agama Islam ke, Jakim ke, tiada yang berani ambil tindakan tegas. Kenyataannya telah disiarkan pelbagai media, dah ada bukti, tapi tiada tindakan. Maka, semakin menjadi-jadilah dan naik minyak lah dia.
Pedang cuma nak tanya sikit. Ada atau tidak dalam undang-undang atau enakmen Islam negeri-negeri yang mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana individu Islam yang mengeluarkan kenyataan menghina Islam? Dalam undang-undang polis ada?
Perintahkan mereka ini untuk hadir di jabatan agama Islam atau depan mufti sebagaimana tindakan yang dikenakan terhadap Raja Bomoh baru-baru ini. Ada? Kalau ada kena bertindak cepat sebelum, orang seperti ini memalukan Islam dan mempengaruhi lebih ramai lagi pihak untuk menghina Islam.
Kalau Malaysia ini negara bebas bersuara, agak-agak lah jangan sampai menghina agama Islam. Agama Persekutuan ini wajib dijaga sepenuh jiwa dan raga.
Kita ni dah habis suara meminta orang yang menghina Islam diambil tindakan. Pedang bimbang mungkin ada pihak yang akan bertindak sendiri untuk mempertahankan Islam, lalu berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Berbalik kepada cerita kebakaran pusat tahfiz di Keramat itu, Pedang setuju dengan kenyataan Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim bahawa adalah tidak adil gesaan menutup pusat tahfiz, sedangkan kilang-kilang haram dibiarkan beroperasi dan tidak diambil tindakan yang sewajarnya.
Rakan-rakan Pedang pun ada yang bagi ulasan mengenai isu itu. Ada juga kata-kata lucu mereka – kalau nak tutup pusat tahfiz yang menyebabkan ramai mati, syarikat penerbangan Malaysia (MAS) pun kena tutup juga kerana menyebabkan ramai yang mati.
Kata Pedang: Mati kerana mempertahankan Islam dan Rasulullah SAW, susah diperoleh pada zaman sekarang.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
The post ‘Tak kisah syahid atau tidak. Yang penting mereka masuk syurga’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan