Anggota tentera, isteri ditangkap rantai anak di tong gas
Gambar PDRM
KUANTAN, 16 Muharram 1439H, Jumaat – Polis menangkap seorang anggota tentera dan isterinya kerana disyaki menderak anak lelaki mereka berusia 10 tahun di Indera Mahkota, semalam.
Kanak-kanak itu dirantai di leher serta dikunci dengan mangga dan diikat pada tong gas dalam rumah mereka.
Difahamkan, orang awam telah memberi maklumat mengenai seorang kanak-kanak Melayu dipercayai didera, diikat dan dikurung, sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dihantar ke lokasi kejadian.
Kira-kira jam 9.45 pagi, polis tiba dilokasi kejadian dan mengetuk pintu rumah, tetapi tiada jawapan.
Mereka kemudian ke bahagian belakang rumah dan meninjau melalui tingkap, sebelum ternampak kelibat kanak-kanak memakai seluar tanpa baju, terbaring tidak sedarkan diri, manakala lehernya diikat rantai.
Anggota polis memecah masuk ke rumah itu dan mendapati kanak-kanak itu tidak sedarkan diri walaupun beberapa kali dikejutkan.
Polis kemudian membuka rantai yang diikat pada leher kanak-kanak itu, namun dia masih tidak sedarkan diri, sebelum ambulans dipanggil untuk membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Bapa kanak-kanak itu yang berusia 35 tahun adalah anggota tentera bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang, kemudian ditangkap. Dia mengaku beberapa kali bertindak demikian kerana anaknya degil dan selalu ponteng sekolah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, mengesahkan kejadian itu, manakala pasangan berkenaan direman seminggu untuk siasatan lanjut.
Gambar PDRM
The post Anggota tentera, isteri ditangkap rantai anak di tong gas appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan