Bajet 2018 gagal gambarkan masalah sosial serius belia: Pembina

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Safar 1439H, Sabtu – Pembentangan Bajet 2018 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak semalam, gagal menggambarkan keseriusan masalah sosial yang dihadapi masyarakat khususnya golongan muda di negara ini.

Meskipun perdana menteri telah menyentuh berkenaan aspek jati diri dalam pembentangan itu, namun Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) tidak melihat keseriusan dalam menangani isu-isu itu.

Presidennya, Eqwan Roslan berkata, Pembina sebelum ini telah menyatakan hasrat supaya kerajaan memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan jati diri belia berbanding memfokuskan peruntukan kewangan semata-mata.

“Ini kerana tiada guna kemajuan material dicapai, tetapi bilangan pesakit mental semakin tinggi, anak zina semakin ramai, penyalahgunaan dadah meningkat, rasuah berleluasa dan identiti asing menggantikan jati diri asal.

“Belia dan mahasiswa di Malaysia menghadapi masalah dadah yang kian serius, perzinaan dan anak luar nikah yang meningkat serta kekeliruan jati diri. Harapan Pembina adalah kerajaan serius dalam menangani isu-isu ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau bagaimanapun menyambut baik beberapa peluang dan tawaran yang diberikan kerajaan kepada golongan belia dan mahasiswa bermula Januari tahun depan.

Jelas beliau, terdapat pelbagai peluang yang perlu direbut oleh belia dan mahasiswa terutamanya dalam membangunkan perniagaan kecil, sederhana melalui dana pembiayaan, geran serta pinjaman dengan jaminan kerajaan.

Menurutnya, peluang itu selari dengan hasrat kerajaan supaya belia dan mahasiswa di negara ini tidak hanya menjadi pekerja, sebaliknya mencipta peluang pekerjaan.

“Pembina menyambut baik peningkatan dana penyelidikan serta peruntukan bagi pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran. Ini dapat memastikan Malaysia mempunyai kepakaran yang cukup dalam lanskap perubahan ekonomi dunia.

“Usaha mewujudkan pusat sehenti bagi memudahkan graduan mendapatkan khidmat nasihat profesional bagi mendapatkan pekerjaan adalah langkah yang baik dan harus diambil peluang oleh seluruh mahasiswa dan graduan,” katanya.

Eqwan berkata, beliau turut menyambut baik kelonggaran membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberikan kerajaan, khususnya ‘grace period’ yang ditingkatkan kepada 12 bulan.

“Ini memberikan ruang kepada lebih kurang 20 peratus graduan yang tidak mendapat kerja dalam masa enam bulan. Diskaun bayaran balik juga dialu-alukan bagi meringankan sedikit bebanan bayaran semula pinjaman dan sebagai galakan untuk membayar segera pinjaman.

“Namun dalam masa yang sama, Pembina juga berasa bimbang dengan ‘grace period’ dan diskaun ini bagi kelestarian PTPTN untuk jangka masa panjang,” katanya.

Tertarik dengan ucapan berkaitan kemenangan Pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus seluruh Malaysia, Eqwan berharap mahasiswa diberikan kelonggaran berpolitik di kampus, dalam kerangka pertumbuhan potensi diri dan latihan kepimpinan.

“Sesetengah universiti tidak membenarkan mahasiswa bertanding mewakili mana-mana kumpulan atau pakatan. Iklim politik di kampus juga agak menekan mahasiwa dan berkemungkinan menjadi sebab mengapa hanya sekitar 10 peratus mahasiswa mendaftar sebagai pengundi,” katanya.

Katanya lagi, biarpun terdapat beberapa peruntukan yang dianggap tidak diperlukan seperti pemberian wang bersifat politik, namun beliau percaya rakyat tidak mudah dibeli dengan tawaran sebegitu.

Namun katanya, sebarang peluang yang disebut pada pembentangan semalam perlu direbut oleh belia dan mahasiswa tidak kira untuk membina perniagaan, menyambung pengajian, manfaat pelepasan cukau atau pemilikan hartanah.

“Pembina juga berharap agar semua peruntukan ini dapat disalurkan dengan telus dan amanah,” katanya.

 

The post Bajet 2018 gagal gambarkan masalah sosial serius belia: Pembina appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian