Bentong jadi bandar pintar pertama bawah OBOR

SERI KEMBANGAN, 27 Muharram 1439H, Selasa – China Smart Creation (CSC) Smart Eco-Valley di Bentong, Pahang akan menjadi bandar pintar pertama di Malaysia, meraih manfaat daripada inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (OBOR).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah ini sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan bandar itu sebagai bandar mesra alam pintar, selain statusnya sebagai bandar satelit.

“Ia akan menjadi 100 peratus bandar pintar pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi pintar terkini China.

“Projek tersebut yang dijangka bermula pada akhir tahun ini akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Penyelesaian dan Produk Industri Pembinaan CSC Jalur dan Laluan Malaysia 2017 di sini hari ini.

Bagaimanapun, kos keseluruhan projek itu di tanah seluas 16 hektar tidak dinyatakan.

Sementara itu, Datuk Clement Tan Wei Loon, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Quantum March Sdn Bhd, pemaju bersama pembangunan bandar pintar itu, berkata projek tersebut merupakan usaha sama antara dua syarikat tempatan dan 10 syarikat milik China.

“Hari ini, kami menandatangani empat perjanjian berkaitan dengan projek tersebut dan lebih banyak perjanjian dijangka dimeterai,” katanya.

Selain Quantum March, sebuah lagi syarikat tempatan, DSA Development Sdn Bhd, akan membangunkan projek bandar pintar yang akan datang secara bersama.

Projek tersebut, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM3.5 bilion, akan terdiri daripada perbandaran bandar pintar yang termasuk rumah, hotel, universiti dan pusat kesihatan yang merangkumi industri pintar, kehidupan pintar dan pengurusan pintar yang menggunakan teknologi terkini dari China.

Terdahulu, pada majlis itu, Ketua Penasihat Kempen, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, kempen tersebut, yang menampilkan CSC-Lifestyle Experimental Showcase diadakan di sini mulai hari ini hingga 5 Jan, 2018, yang menumpukan kepada teknologi hijau dan penyelesaian data.

“Kempen ini akan menganjurkan 100 forum dan bengkel bagi membolehkan pemaju hartanah Malaysia meningkatkan pengetahuan mereka mengenai teknologi terkini dalam industri pembinaan China,” katanya.- Bernama

The post Bentong jadi bandar pintar pertama bawah OBOR appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian