Buku Mustafa Akyol bertentangan norma kehidupan, ancam keselamatan

KUALA LUMPUR, 16 Muharram 1439H, Jumaat – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengharaman buku penulis Turki, Mustafa Akyol disebabkan bahan bacaan itu bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata buku bertajuk ‘Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty’ yang diterjemah ke bahasa Melayu ‘Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan’ itu bertentangan dari segi fakta dan boleh menjejaskan keselamatan dalam negara jika disebarkan.

Beliau turut menegaskan pengharaman sesuatu buku tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya dan hanya dilakukan setelah kementeriannya menimbang beberapa perkara.

“Pertama ia dibuat setelah kementerian mendapat maklum balas daripada orang ramai yang memberi pandangan sesuatu buku itu tidak sesuai. Kedua, buku itu dinilai isi kandungannya berdasarkan kepada permit daripada Kementerian Dalam Negeri atau ISBN dan ketiga, tentunya kita lakukan siasatan terhadap ketidaksesuaian sesuatu buku itu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ke-10, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pertimbangan sama juga dibuat terhadap buku-buku yang dimiliki bekas penuntut sarjana Universiti Malaya, Siti Noor Aishah Atam yang kini dipenjara mengikut Seksyen 30(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Pengharaman buku Akyol itu diwartakan pada 28 September lalu, iaitu sehari selepas penulis itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika menunggu penerbangan ke Amerika Syarikat.

Akyol dilaporkan datang ke negara ini atas undangan Islamic Renaissance Front untuk memberi syarahan namun acara itu dibatalkan dan wartawan Turki itu turut disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana mengajar tanpa tauliah. – Bernama

The post Buku Mustafa Akyol bertentangan norma kehidupan, ancam keselamatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian