Di sebalik ‘Tembok Besar China’ di Kuantan

Spekulasi masyarakat tempatan, khususnya di Gebeng – bahawa sebuah ‘penempatan China’ sedang dibina di sebalik tembok besar itu

MEMANDU di sepanjang Jalan Pintasan Gebeng, yang menghubungkan Jabur di Terengganu dan Gebeng berhampiran pelabuhan Kuantan, biasanya hanya ditemani hutan dan belukar di sepanjang kiri dan kanan sejak ia mula dibuka pada 2006.

Namun sejak 2013, satu bahagian jalan itu di Gebeng – pekan kecil yang terletak 25km dari Kuantan – telah mengalami perubahan.

Kini proses pembinaan sedang rancak berlangsung, dengan kira-kira 1,200 ekar tanah dibersihkan untuk memberi laluan kepada pembangunan yang dikenali sebagai fasa satu Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Jika melihat ke arah taman industri, beberapa bangunan yang masih dalam pembinaan menarik pandangan. Tambahan pula ia dilindungi tembok setinggi lapan kaki. Imej satelit menunjukkan tembok tersebut dibina mengelilingi seluruh tapak projek, dengan anggaran perimeter paling kurang sembilan kilometer.

Cangkuk dipasang pada bahagian atas tembok berwarna kelabu pudar itu, dengan pengecualian di sebahagian kecil dinding yang dibina dengan batu-bata merah, barangkali untuk tujuan estetika.

Bagi penduduk tempatan, tembok itu digelar sebagai “Tembok Besar China” Kuantan.

Tiada apa yang luar biasa dengan tembok itu, tetapi tujuannya untuk memisahkan mereka yang di dalam dengan dunia luar. Ia juga sekali gus mencetuskan spekulasi di kalangan masyarakat setempat.

Orang biasa tidak dibenarkan memasukinya tanpa kelulusan pentadbiran projek. Sejumlah kecil penduduk tempatan yang dibenarkan biasanya mempunyai urusan rasmi atau perniagaan dengan pihak mereka.

Satu-satunya pintu masuk yang ada dikawal ketat oleh pengawal keselamatan tempatan beruniform putih, dan pengawal dari China yang beruniform hitam.

Peluang terbaik bagi orang luar yang ingin tahu keadaan di sebaliknya adalah menerusi bangunan yang sedang dibina itu, yang dihiasi dengan sepanduk bertulis slogan-slogan motivasi dalam bahasa Cina yang digantung pada jaring keselamatan berwarna hijau – seperti yang lazim dilihat di tapak pembinaan oleh syarikat dari China.

Ia merancakkan desas-desus di kalangan masyarakat, bahawa sebuah ‘penempatan China’ sedang dibina di sebalik tembok besar itu.

Ingin mengetahui keadaan sebenar, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang telah membuat permohonan kepada MCKIP untuk memasuki tapak projek, tetapi malangnya ditolak.

Wakil rakyat dilarang masuk

Dilancar secara rasmi pada 5 Februari 2013, sebanyak 49 peratus pegangan MCKIP dimiliki Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China milik kerajaan Wilayah Autonomi Guanxi, manakala 51 peratus lagi oleh konsortium Malaysia – Kuantan, Pahang Holding Sdn Bhd.

Konsortium itu adalah usaha sama kerajaan dan swasta, melibatkan IJM Land Berhad (40 peratus), Sime Darby Property Berhad (30 peratus), dan kerajaan Pahang melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (30 peratus).

Perasmian besar-besaran itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) ketika itu, Jia Qinglin.

Terbahagi kepada tiga fasa, pembangunan ketika ini akan disusuli dengan pembangunan 1,000 ekar untuk fasa kedua, dan 800 ekar untuk fasa ketiga.

Menurut jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri Pahang pada 14 September lalu, seluas 710 ekar tapak fasa pertama telah dijual kepada Alliance Steel (M) Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara dua entiti China iaitu Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi Shenglong Metallurgical Co Ltd.

Jawapan bertulis itu turut memaklumkan Alliance Steel, syarikat China pertama yang melabur dalam MCKIP, sedang membina kilang keluli yang moden dan bersepadu. Setakat ini, ia sudah 50 peratus siap dan dijangka mula beroperasi hujung tahun ini.

Kerajaan Pahang juga berkata yang sebuah syarikat bateri kereta dari China telah berjanji untuk melabur dalam fasa ketiga MCKIP.

Laporan media pula menyatakan sebuah lagi syarikat dari negara itu akan membuat pelaburan, untuk membina kilang aluminium.

MCKIP adalah projek pertama yang dianugerahkan status “Taman Perindustrian Nasional” dan dikatakan bakal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi tempatan, selain membuka ribuan peluang pekerjaan.

Namun setelah empat tahun berlalu, penduduk Kuantan mula merungut apabila janji tersebut masih belum tertunai.

Selaku ADUN bagi kawasan terletaknya MCKIP, Sim mengikuti isu itu secara dekat ekoran menerima pelbagai aduan dan pertanyaan.

Kota di sebalik tembok

Menyifatkan MCKIP sebagai “kota tertutup”, Sim berkata ia sama sekali berbeza dengan taman perindustrian lain di Kuantan, seperti Kawasan Perindustrian Gebeng dan Kawasan Perindustrian Semambu.

Bagi kedua-dua kawasan perindustrian itu, orang ramai bebas keluar masuk dan pagar hanya dipasang untuk bangunan pejabat dan kilang milik syarikat.

“Pada mulanya kami menunggu-nunggu fasa pertama MCKIP, namun hari ini pembinaan sudah hampir siap tetapi kami tidak melihat apa-apa perubahan besar di Kuantan.

“Apa yang paling mustahak adalah meningkatkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, agar golongan muda tidak perlu berhijrah.

“Kami berharap MCKIP akan dapat mengembangkan ekonomi Kuantan, bukannya mengasingkan diri di sebalik tembok – seperti sebuah wilayah persekutuan. Kami tidak tahu apa di dalam sana,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kuantan baru-baru ini.

Selepas gagal untuk mendapat kebenaran masuk, Sim beralih kepada DUN Pahang untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Antara perkara yang dibangkitkannya adalah komposisi pekerja di sana.

Menerusi jawapan bertulis 14 September, kerajaan negeri menyatakan terdapat 6,000 pekerja ketika waktu puncak, dengan nisbah tiga pekerja asing bagi setiap dua pekerja tempatan.

Maka, terdapat 3,600 pekerja asing dan 2,400 pekerja tempatan bagi fasa pertama MCKIP. Kerajaan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada pekerja asing merupakan warganegara China atau negara lain.

Melangkaui kenyataan rasmi daripada kerajaan, apa yang berlaku di sebalik tembok kekal menjadi misteri, bagi wakil rakyat dan rakyat yang diwakilinya.

Wartawan Malaysiakini juga tidak dibenarkan masuk ketika pergi ke MCKIP. Malaysiakini telah membuat permohonan bertulis kepada MCKIP dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), namun setakat ini masih belum memberikan maklum balas.

Kedua-dua pihak itu juga tidak memberikan respon kepada permohonan temu bual daripada Malaysiakini.

Namun Malaysiakini sempat bertemu dengan beberapa individu termasuklah warga tempatan dan juga China, yang tinggal atau bekerja di sebalik tembok MCKIP.

Seorang pemandu warga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Tan (bukan nama sebenar), bertanggungjawab mengangkut pekerja daripada hostel ke tapak projek, kedua-duanya terletak di dalam kawasan MCKIP.

Menurut Tan, dia memang disyaratkan untuk tinggal di sana.

“Saya hanya akan keluar daripada taman industri apabila perlunya saya untuk membeli barangan di luar kedai,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika itulah Tan mengambil peluang untuk ke restoran di Kuantan, kerana dia tidak biasa dengan makanan ‘autentik’ China yang dihidangkan kantin di dalam MCKIP.

Peluang pekerjaan akan tiba

Tan mengakui hanya sejumlah kecil warga Malaysia yang bekerja dalam fasa pertama, namun dia yakin ia akan berubah apabila kilang-kilang mula beroperasi.

“Bulan lalu, mereka sudah pun mengeluarkan iklan mahu merekrut 4,000 pekerja bagi kilang-kilang yang akan disiapkan. Saya juga mungkin akan bertukar ke bahagian pengeluaran,” katanya.

Malaysiakini juga bertemu dengan dua warga China yang bekerja di sana. Berdasarkan logo yang tertera di uniform, mereka adalah kakitangan Hubei Qianxi Construction Engineering Co Ltd.

Kedua-duanya tidak mahu mendedahkan identiti, bimbang kemungkinan hilang pekerjaan. Mereka akan dirujuk sebagai Zhang dan Wong (bukan nama sebenar).

Menurut Zhang, Hubei Qianxi adalah salah satu daripada banyak syarikat China yang terlibat dalam pembinaan kilang keluli bersepadu Alliance Steel.

Katanya lagi, syarikatnya sahaja mempunyai 400 pekerja pembinaan, antaranya jurukimpal, pekerja keluli, dan tukang kayu. Kebanyakannya dari Hubei, China.

“Pekerja datang dan pergi. Ada juga yang belum tiba, sementara yang lain pulang ke kampung apabila permit tamat tempoh,” katanya.

Katanya, pekerja daripada syarikat berbeza – sekurang-kurangnya ada 30 syarikat lagi yang terlibat dalam pembinaan kilang keluli – kebanyakannya datang dari wilayah yang berbeza di China. Hostel mereka dipisahkan untuk mengelak tercetusnya pergaduhan.

Ketika ditanya tentang anggaran pekerja warga China di sana, Zhang berkata beliau yakin jumlahnya melebihi 3,600 – angka rasmi yang diberikan kerajaan negeri.

Dia mendakwa “90 peratus” pekerja di dalam MCKIP ketika ini adalah warga China.

Sejumlah 10 peratus lagi dari Bangladesh, Indonesia, dan sejumlah warga tempatan yang biasanya menjadi pemandu, penterjemah dan kakitangan bahagian pemerolehan, katanya lagi.

Seperti di kampung halaman

Menyuarakan sentimen yang sama, Wong berkata sukar untuknya bertahan di sana jika ia seperti sebuah tempat asing.

“Jika tidak, anda mungkin tidak boleh tinggal walaupun sehari, atau mungkin juga langsung tidak akan ke sini untuk kerja,” katanya.

Mereka berkata setiap kawasan tempat tinggal pekerja menyediakan makanan autentik China berdasarkan wilayah tempat asal mereka.

Misalnya, kantin untuk pekerja Hubei Qianxi disediakan hidangan dari Hubei, manakala kantin untuk pekerja Sichuan pula hidangan dari sana.

Kedua-duanya mengaku yang mereka tidak suka cara masakan tempatan.

Zhang bagaimanapun menafikan dakwaan “dunia luar” yang mengatakan setiap bekalan di sebalik tembok diimport dari China.

Katanya, setiap tempat tinggal pekerja dilengkapi kedai runcit yang kebanyakannya menjual produk tempatan. Malah, sebuah pasar raya yang memiliki beberapa cawangan di Kuantan baru-baru ini membuka cawangan di dalamnya.

Katanya lagi, hanya sebilangan produk diimport dari China, antaranya makanan ringan, wain dan rokok.

“Kami tidak suka rokok Malaysia kerana terlalu ‘manis’,” katanya.

Dilarang keluar

Tidak seperti pekerja tempatan yang dibenarkan keluar jika ada kerja-kerja tertentu, warga China di sana dilarang keras untuk keluar.

Tapi bagi Zhang, tiada keperluan untuk dia berbuat demikian kerana segalanya mencukupi dan boleh diperoleh di balik “Tembok Besar China” itu.

“Setiap bilik ada empat katil untuk empat pekerja, dilengkapi pendingin hawa dan lampu. Tandas dan bilik air dikongsi bersama, dan televisyen disediakan di kantin,” katanya.

Wong berkata, pihak syarikat menjelaskan yang pekerja tidak biasa dengan dunia luar dan larangan dikenakan demi menjaga keselamatan mereka.

Baginya dan pekerja yang lain, kata Wong lagi, mereka tidak kisah tinggal di sebalik tembok itu dan memang tidak berminat untuk ke bandar Kuantan.

Kata Zhang pula, mereka hanya dibenarkan meninggalkan taman industri itu jika jatuh sakit, itu pun jika ubatan yang disediakan pekerja pemerolehan tidak berkesan.

Untuk itu, mereka memerlukan kebenaran syarikat, sebelum dibawa ke klinik atau hospital di bandar Kuantan.

“Ketika cuti pun kami dilarang keluar. Ketika itu, kami akan meluangkan masa dengan berkaraoke, menonton televisyen atau bermain bola keranjang. Tidak banyak hiburan di dalam taman industri,” katanya lagi. – Laporan Khas Malaysiakini

Majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 9 Ogos lalu di Kuantan kelihatan terlalu ‘China’. Sepanjang laluan ke projek ECRL yang merupakan salah satu projek terbesar di bawah program One Belt One Road (Obor) China itu, hanya bendera bertulisan bahasa Mandarin kelihatan.

The post Di sebalik ‘Tembok Besar China’ di Kuantan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian