Dots ungguli kejohanan sulung bola jaring Piala Isma Australia

Isma Australia telah menganjurkan pertandingan Bola Jaring Piala Isma Australia pada 28 September yang lalu dengan kerjasama I-Fitness Australia yang bertempat di ICA Sportzwyx, Adelaide. Hadir berkongsi dan mengendalikan program berkenaan ialah Ketua Kejohanan Bola Jaring Piala Isma Australia iaitu Saudari Nur Aqilah Zahraa’ Jalwaa’. Ketika ditemui selepas pertandingan tersebut, Saudari Jalwaa’ menyatakan rasa berbesar hati beliau atas penganjuran pertandingan itu.

“Program yang pertama kali diadakan ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan program seperti ini perlu diteruskan untuk melahirkan peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar yang bukan sahaja cerdas dalam pelajaran tetapi juga aktif dalam bersukan,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, Kejohanan Bola Jaring Piala Isma Australia ini diadakan sebagai salah satu platform untuk mengetengahkan kepentingan bersukan demi memastikan kecergasan fizikal dan mental di samping mengeratkan silaturahim antara peserta yang datang dari pelbagai negeri di Australia ini.

Pertandingan yang berlangsung sejak jam 9.30 pagi dan berakhir sekitar tengah hari itu telah merealisasikan impian emas bagi skuad Dots dari South Australia apabila telah berjaya melakar kemenangan ke atas semua pihak lawan.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi yang dipraktikkan apabila turun berhadapan pihak lawan, Saudari Kamilah Samsudin dari skuad Sydney Angels yang beraksi di posisi penjaga gol (GK) berkata pasukannya menyerahkan kepada jurulatih untuk membuat percaturan dan mereka juga telah melakukan beberapa latihan sebelum tibanya hari pertandingan.

Pasukan Dots yang melakarkan kemenangan juara ternyata tidak menghadapi banyak rintangan untuk menjinakkan barisan lawan berikutan semangat juang yang tinggi serta strategi yang berkesan memberi kelebihan kepada Dots mengumpul mata bagi mendahului pasukan-pasukan lain sekali gus menjadi juara pertandingan Bola Jaring Piala Isma Australia 2017.

Pihak Isma Australia berharap agar penganjuran sebegini dapat dipergiatkan lagi bagi memberikan platform untuk mahasiswa bergiat aktif, seiring dengan aspirasi Isma Australia yang pertama iaitu memacu amal mahasiswa. Syabas kepada seluruh jawatankuasa penganjur Piala Isma Australia atas penganjuran yang cemerlang ini.

Nur Afifah Izzati binti Rozman
Ahli Jawatankuasa Penganjuran (Bola Jaring) Piala Isma Australia

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian