Dua maut kemalangan babit empat kenderaan di Nilai

Gambar FB

SEREMBAN, 8 Safar 1439H, Sabtu – Dua maut manakala tiga cedera dalam kemalangan babit sebuah treler dan tiga kenderaan di KM270.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, 5 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Ahmad Ridwan Yahya berkata dalam kejadian tersebut, mereka yang maut ialah dua warga emas, seorang lelaki dan wanita, berusia 60 dan 62 tahun, masing-masing merupakan pemandu dan penumpang kereta Perodua Alza.

“Turut terlibat dalam kemalangan itu ialah sebuah kereta jenis Proton Preve dan sebuah Proton Waja yang melibatkan tiga mangsa. Mereka bagaimanapun mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa yang maut itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Kami mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit ,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat dan mendapatkan rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, Ahmad Ridwan berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada tayar treler kosong tanpa muatan yang datang dari arah selatan menuju ke utara, pecah sebelum kenderaan itu hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di tengah lebuh raya berkenaan.

“Treler itu kemudiannya merempuh pula tiga buah kereta yang datang dari arah utara menuju ke selatan,” katanya sambil berkata kejadian berlaku di jalan lurus.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 5 petang dan tiba bersama sembilan anggota termasuk seorang pegawai ke lokasi kejadian setengah jam kemudian.

Kemalangan itu menyebabkan aliran trafik sesak sehingga 19km dari arah selatan ekoran lorong tengah dan kanan terhalang selain sesak sepanjang dua kilometer arah utara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Zaldino Zaludin mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ (Akta Pengangkutan Jalan) 1987.

Zaldino dalam kenyataan media malam ini berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Lau Lian Huat, 62, iaitu pemandu Perodua Alza dan penumpang Lim Ah Gim, 60.

Beliau berkata kedua- dua mangsa beralamat di Pulau Gadong, Melaka.

“Lau mengalami kecederaan di seluruh badan manakala Lim alami kecederaan di kepala. Kedua-dua mereka mati di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata pemandu dan penumpang Proton Preve iaitu Aziah Saleh, 45, dan Abdul Rahim Ramlee, 52, mengalami calar di muka manakala pemandu Proton Waja Mohammad Tahir Othman, 51, mengalami patah tulang rusuk dan kaki kiri.

“Bagaimanapun pemandu treler berkenaan dipercayai melarikan diri,” katanya. – Bernama

The post Dua maut kemalangan babit empat kenderaan di Nilai appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian