(EKSKLUSIF) Sistem IMAMS: RM90.10 mesti dibayar secara prepaid, membebankan jemaah

Oleh Razali bin Zakaria

BANGI, 29 Muharram 1439H, Khamis – Dalam taklimat syarikat yang memperkenalkan Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) atau Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia, kepada pengendali umrah, mereka menjelaskan bahawa bayaran RM90.10 bagi setiap jemaah mesti dibayar dalam bentuk prepaid setahun.

Menurut Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan IMAMS:

1. Pembayaran adalah dalam bentuk prabayar kredit yang bernilai RM10,000.00;
2. Penambahan nilai adalah pada nilai RM10,000.00 juga; dan
3. Tiada nilai maksimum pembelian prabayar kredit.

Ini bermakna jika satu syarikat pengendali umrah mempunyai 90,000 jemaah setahun, mereka mesti membayar RM8.109 juta kepada syarikat yang memperkenalkan program itu. Dan, syarikat terbabit akan menolak bayaran RM90.10 (seorang) setiap kali pengendali umrah menghantar jemaah ke Tanah Suci.

Contohnya, jika bulan ini pengendali umrah menghantar 100 jemaah, maka syarikat itu akan memotong RM9,010 daripada jumlah keseluruhan yang dimasukkan ke dalam akaun mereka.

Sebagaimana disebut sebelum ini, dianggarkan kira-kira 290,000 umat Islam mengerjakan umrah setiap tahun. Ini bermakna semua agensi pengendali umrah akan membayar secara prepaid RM90.10 bagi setiap jemaah mereka, menjadikan keseluruhannya RM26.129 juta akan masuk ke akaun syarikat yang memperkenalkan program itu.

Syarikat berkenaan mendakwa:

IMAMS adalah satu sistem bersepadu bagi menyelaras, memantau, mengurus dan melapor semua urus tadbir pengendalian pakej umrah oleh semua agensi pelancungan yang memiliki LKU bagi pihak Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dan Motac.

IMAMS diwujudkan kerana semua sedia maklum setiap tahun terdapat ketirisan dalam memastikan setiap pakej umrah telus dan sahih. Setiap tahun ada sahaja bentuk dan cara penipuan baharu.

Syarikat itu mendakwa melalui sistem IMAMS, MKSU dan Motac dapat memantau:

1. Setiap pakej umrah yang ditawarkan oleh agensi pelancongan yang ditauliahkan LKU;
2. Pengesahan senarai nama syarikat pelancongan yang sah memiliki LKU;
3. Pengesahan senarai syarikat yang berstatus bnukan muasasah dan muasasah;
4. harga serta iklan yang betul;
5. Pengurusan dan pemantauan syarikat pelancongan dan jemaah melalui pendaftaran dan dokumentasi untuk umrah;
6. Pergerakan dan status perjalanan jemaah; dan
7. Statistik dan laporan setiap syarikat.

Syarikat itu juga mendakwa melalui sistem IMAMS, jemaah dan keluarga mereka boleh:

1. Menjadi satu pusat semakan atau rujukan bagi kesahihan syarikat, pakej umrah, sub ejen, harga pakej, pengesahan visa dan sebagainya;
2. menyediakan pemeriksaan atas talian, laman sesawang IMAMS atau pusat panggilan (call centre) yang berfungsi 24 jam;
3. Memantau pergerakan jemaah semasa mengerjakan umrah untuk ahli keluarga jemaah di Malaysia;
4. Mengadakan platform ‘panic button’ untuk sebarang bentuk kecemasan;
5. Memberi ruang bagi sebarang aduan atau rungutan dari jemaah dan mengajukannya kepada pihak yang berkenaan;
6. Menjadi rujukan atau panduan mengerjakan umrah secara digital dan tidak perlu membawa buku; dan
7. Melengkapkan persediaan mengerjakan umrah dengan insurans yang cukup komprtitif.

Syarikat itu berkata, bagi agensi pelancongan pula IMAMS menjadi:

1. Bersepadu ‘one-stop-centre’ dan berpusat untuk semua pakej umrah di Malaysia;
2. Pemudahcara dan menjimatkan masa pengurusan pendaftaran, sub-ejen, visa, mahram, insurans, pengangkutan dan semua yang berkaitan;
3. mempunyai entiti pemantauan dan pemerhatian bagi setiap pakej dan setiap urus tadbir perjalanan;
4. Mengadakan platform kawal urus bagi agensi utama untuk mengawal sub-ejen dan ketelusan pakej yang disediakan; dan
5. mengutamakan keselamatan data dan penyimpanan maklumat.

Namun, apa yang didakwa oleh syarikat pengendali IMAMS itu, terutama sebab sistem berkenaan diwujudkan iaitu membendung kes penipuan umrah, sebenarnya telah dilaksanakan apabila LKU diperkenalkan.

Salah satu tujuan LKU diperkenal dan dikuatkuasakan ialah memantau, mengelak dan membendung kes penipuan umrah daripada berulang pada masa depan. Sebelum ini, beribu-ribu umat Islam yang hendak mengerjakan umrah dilaporkan ditipu oleh syarikat tertentu membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Sebelum pengenalan LKU ini , syarikat yang menjalankan aktiviti pengendalian umrah hanya perlu mendapatkan lesen perjalanan ke luar negara (outbound), namun bermula 1 Oktober lalu mereka perlu mendapatkan kedua-dua lesen iaitu lesen outbound dan LKU.

Antara syarat utama yang dipertimbangkan bagi memperoleh LKU ialah dokumen perjanjian muasassah atau perjanjian kerjasama dengan syarikat berstatus muasassah yang lengkap di samping syarat-syarat lain serta dokumen sokongan yang diperlukan.

Disyaratkan juga bahawa ahli lembaga pengarah dan pemegang saham hendaklah 100 peratus warganegara Malaysia dan beragama Islam.

Syarikat-syarikat juga perlu bebas daripada siasatan dan kompaun disebabkan pelanggaran Akta Industri Pelancongan 1992, kes-kes penipuan dan jenayah komersial di bawah PDRM, dan pembatalan salah satu lesen Inbound, Outbound atau Ticketing (IOT), mahupun kesemuanya.

Hari ini, 130 pengusaha dan pengendali pakej umrah telah menyatakan mereka tidak bersetuju dengan pelaksanaan IMAMS yang dianggap membebankan.

Ini kerana syarikat pengendali IMAMS mensyaratkan bayaran tambahan RM90.10 bagi setiap jemaah selain merekodkan semua data peribadi jemaah yang mungkin bertentangan dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, kata Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Beliau berkata, pengendali umrah dan haji menyokong matlamat LKU bagi membanteras penipuan yang kerap berlaku.

Namun, LKU mensyaratkan penggunaan IMAMS yang hanya menyebabkan kos pelaksanaan umrah bertambah kepada jemaah.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pula akan mengadakan sesi perbincangan dengan ahli-ahlinya mengenai permasalah umrah pada 27 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ikuti video pertemuan syarikat pengurusan IMAMS dengan pengendali umrah dalam ruang VIDEO Ismaweb.net

The post (EKSKLUSIF) Sistem IMAMS: RM90.10 mesti dibayar secara prepaid, membebankan jemaah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian