Gimik bantah arak: Jamal, tujuh individu direman tiga hari

Gambar NSTP

SHAH ALAM, 16 Muharram 1439H, Jumaat – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan tujuh pekerjanya yang ditahan awal pagi tadi direman tiga hari bermula hari ini susulan tindakan memecahkan botol arak di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret P Sarulatha mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.

Peguam Khairul Anuar Kashim yang mewakili semua suspek ketika ditemui pemberita berkata, pekerja-pekerja Jamal yang ditahan terdiri daripada pemandu dan pengawal peribadinya.

Beliau berkata, ketika ditahan di sebuah restoran di Sekinchan, Sabak Bernam semua anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan pagi tadi mengesahkan Jamal dan tujuh yang lain ditahan kira-kira jam 1.45 pagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia dan anggota gabungan itu bertindak memecahkan kira-kira 100 botol minuman keras di hadapan pintu masuk utama bangunan SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri ini.

Tindakan itu susulan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan berkata, penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan telah menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara berkenaan dan menasihatkan MPK untuk tidak membenarkan penganjuran acara itu.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin pula mengakui pihaknya menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran pesta itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya kebenaran daripada pihak polis. – Bernama

The post Gimik bantah arak: Jamal, tujuh individu direman tiga hari appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian