KDN perlu selidik siapa pembiaya Malaysiakini
KUALA LUMPUR, 16 Muharram 1439H, Jumaat – Parti Cinta Malaysia (PCM) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan terhadap sumber dana yang membiayai portal liberal, Malaysiakini.
Ini kerana, Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan berkata, portal itu dilihat sering menyiarkan berita-berita berbaur fitnah dan provokasi.
“Saya sudah banyak kali menyuarakan isu Malaysiakini namun nampaknya ia kebal dan tiada mana-mana pihak berwajib yang berani menyiasat portal tersebut.
“Jika dilihat, portal itu seolah-olah bebas memuatkan apa jua berita dengan sesuka hati terutamanya kandungan anti kerajaan tanpa ada sebarang kawalan.
“Justeru, saya menggesa KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat latar belakang portal itu termasuk semua ahli lembaga syarikat itu, sumber pembiayaan dana dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.
Pada masa sama, Cheng Guan turut mempersoalkan mengapa tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berwajib terhadap Malaysiakini sedangkan portal itu dari awal menyiarkan berita bersifat fitnah dan hasutan.
“Kita ketahui portal itu dibiayai oleh pihak asing namun mengapa kerajaan membiarkan portal sedemikian untuk beroperasi di negara ini sedangkan ia boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian masyarakat.
“Malah, kebanyakan beritanya juga tidak membawa manfaat kepada rakyat dan negara. Ini boleh mengundang pemikiran dan minda masyarakat terpesong daripada fakta sebenar,” katanya.
The post KDN perlu selidik siapa pembiaya Malaysiakini appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan