Kejohanan Piala Isma Australia Medan Penyatuan Masyarakat

Kesyumulan Isma Australia dalam menyediakan platform beramal buat pemuda pemudi di Australia terserlah melalui pertandingan futsal serta bola jaring Piala Isma yang diadakan buat pertama kalinya di Adelaide pada Khamis yang lepas. Kejohanan Piala Isma ini dijalankan sebagai satu indikator peri pentingnya kita semua mengimbangi kehidupan antara profesionalisme dalam berdakwah serta kelainan medium dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat.

Kejohanan Futsal dan Bola Jaring Piala Isma merupakan satu program nasional Isma Australia yang menjadi satu unjuran besar daripada penganjuran perlawanan futsal serta frisbee Liga i-Fitness yang telah dijalankan di 4 cawangan Isma Australia iaitu Queensland, New South Wales, Victoria serta South Australia, pada bulan April hingga Mei yang lepas. Menurut Pengarah Piala Isma, Amiruddin Aziz, program ini merupakan satu keunikan yang besar yang perlu dipandang tinggi oleh ahli-ahli Isma Australia serta masyarakat umum.

“Kejayaan Isma (Australia) dalam menganjurkan program ini, dengan penglibatan yang besar daripada para peserta menunjukkan penglibatan Isma dalam masyarakat melalui aktiviti kesukanan sebenarnya diraikan dan diterima, terutamanya daripada golongan pemuda pemudi yang bakal pulang ke Malaysia, dan menjadi pemimpin negara kelak. Perlunya kita menyediakan satu platform khas buat mereka pula, untuk kita raikan kesediaan mereka untuk menerima pembawaan Islam melalui penganjuran aktiviti kesukanan seperti ini pada masa hadapan,” sambung Amiruddin semasa sesi temubual seusai program.

Futsal Piala Isma tahun ini menyaksikan pasukan-pasukan yang hebat serta perlawanan yang sengit di antara mereka semua. Semangat tinggi Isma Australia dalam menganjurkan aktiviti kesukanan seperti ini dipuji oleh kapten pasukan Crackerjack dari South Australia, saudara Ikhwan, yang juga merupakan pasukan yang berjaya memenangi tempat pertama sekaligus membawa pulang piala kemenangan, pingat emas serta wang tunai bernilai 1000 AUD (Satu Ribu Dolar Australia).

“(Saya) memuji tindakan Isma yang telah berjaya menyediakan pertandingan ini yang bukan sahaja terbaik dari segi profesionalisme pengurusan, malah mampu memberikan pengadil yang hebat, penyediaan makanan (sarapan serta makan tengah hari) dan tempat yang terbaik,” sambung saudara Ikhwan lagi, “sekiranya ada lagi penganjuran seperti ini pada tahun depan, kami akan masuk dan menang lagi insyaAllah”.

Kejohanan Bola Jaring Piala Isma pula menyaksikan pasukan Dots, juga dari South Australia menjadi johan lalu membawa pulang piala pusingan, pingat emas serta wang tunai bernilai 1000 AUD.

Kejohanan Piala Isma 2017 disertai oleh pasukan yang bukan sahaja terdiri daripada rakyat Malaysia, malah turut disertai oleh peserta yang berasal daripada Somalia, Australia, Singapura serta Amerika Syarikat. Pencapaian tinggi Isma Australia yang berhasrat untuk mewujudkan satu titik persamaan agar penyatuan ummah berlaku seharusnya diteruskan oleh kita semua agar kesepaduan yang menjadi matlamat dan bukan keceraian dalam umat. Dengan keunikan Isma Australia melalui Piala Isma Australia ini, semoga ianya mampu menjadi pembakar semangat serta batu loncatan permulaan buat pemuda dalam memacu kesatuan buat masa hadapan.

Nik Faris Haikal
Ahli Biro Komunikasi dan Multimedia
Isma Australia

 

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?