Kuarters guru jadi rumah pekerja asing

Kuarters guru di Pengkalan Hulu, Perak dijadikan asrama pekerja asing.

BENTONG, 6 Safar 1439H, Khamis – Kementerian Pendidikan akan menyerahkan kepada Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset untuk meneliti dan mengambil sebarang tindakan terhadap sebuah syarikat yang menempatkan warga asing di bangunan yang sepatutnya dikhaskan untuk kakitangan pendidikan di Klian Intan, Pengkalan Hulu, Perak.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian telah menjalankan siasatan berhubung kes itu dan syarikat berkenaan iaitu Jasa Timah Intan Sdn Bhd didapati telah melanggar syarat penyewaan kuarters berkenaan dengan menjadikannya sebagai kediaman pekerja asing.

“Untuk kuarters guru yang telah lama, baik berada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah, mengikut polisi kementerian ia dibenarkan disewakan kepada pihak swasta mahupun perseorangan dengan syarat tidak boleh menempatkan warga asing.

“Dalam kes Kuarters Rumah Guru (KRG) SK Kelian Intan, kementerian telah meluluskan penyewaan kepada syarikat berkenaan setelah dimaklumkan bahawa ia akan digunakan untuk penginapan kepada pekerja syarikat itu.

“Bagaimanapun syarikat itu tidak memaklumkan secara khusus bahawa pekerjanya adalah pekerja asing dan sudah tentu perkara ini tidak dibenarkan kerana ia bertentangan dengan polisi kementerian,” katanya.

Mahdzir berkata, kuarters berkenaan tidak berpenghuni sejak 31 Disember 2008 dan berikutan itu, kementerian telah meluluskan permohonan penyewaan daripada syarikat berkenaan bermula tarikh 1 Oktober sehingga 30 September 2019 dengan kadar RM1,760 sebulan.

“Kita membenarkannya untuk disewakan memandangkan ia telah tidak berpenghuni sejak sekian lama disebabkan tiada permintaan daripada warga kementerian sendiri, justeru, untuk mengelakkan bangunan itu dalam keadaan terbiar dan rosak akibat tidak diselenggara, kita buka ia untuk disewa dengan polisi tertentu,” katanya.

Difahamkan, walaupun surat tawaran untuk penyewaan kuarters berkenaan telah dikeluarkan kepada syarikat itu, namun surat perjanjian penyewaan masih belum ditandatangani.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini mendesak supaya kementerian menyiasat isu kuarters itu yang dijadikan asrama pekerja asing.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak dilaporkan berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kuarters terbabit disediakan kerajaan untuk kemudahan pegawai pendidikan atau penjawat awam sahaja. – Bernama

The post Kuarters guru jadi rumah pekerja asing appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian