MCA jangan hiris hati Melayu

SEJAK bila orang Cina menyokong atau mengundi MCA? Atau MCA sahaja yang terlebih perasan? Selama ini bukankah MCA hanya menang di kawasan majoriti Melayu? Jika Umno tidak memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu, dan seterusnya menang, apakah MCA boleh jadi seperti adanya MCA pada hari ini? Mempunyai kekananan dalam jawatan Menteri  dan perkhidmatan awam. Tidak ketinggalan, mempunyai begitu banyak bangunan sendiri dan jutawan yang dilahirkan dengan nama yang berbeza-beza.

MCA ini tahu atau tidak percaturan politik? Bersyukurlah wahai parti Cina MCA. Sila ambil cermin paling besar dan lihat muka sendiri. Tanya diri sendiri? Semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sehingga ke hari ini atas ehsan siapa? Melayu atau Cina?

Jika terlampau ultra kiasu, berhentilah daripada menjadi ahli politik kerana kehadiran dan kemunculan kenyataan kamu amat mengguris hati-hati Melayu. Jangan hiris lagi hati mereka yang telah memenangkan kamu? Sedar dirilah bahawa keberuntungan yang kamu perolehi hari ini adalah ehsan orang Melayu.

MCA memperolehi 18 kerusi dalam PRU 13. Daripada tujuh (7) kerusi Parlimen MCA, enam (6) adalah majoriti Melayu ataupun lebih ramai pengundi Melayu daripada pengundi Cina. Manakala, daripada 11 kerusi DUN, 9 adalah majoriti Melayu ataupun lebih ramai pengundi Melayu daripada pengundi Cina. Dalam kata lain, sejumlah 15 daripada 18 kerusi MCA (ataupun 83.3%) adalah terletak di kawasan Melayu luar bandar. Mari kita lihat satu persatu kekuatan MCA.

Kerusi Parlimen dimenangi MCA PRU13. P148 Ayer Hitam, Melayu 58%, Cina 38%, 4% lain-lain, P135 Alor Gajah, 58% Melayu, 28% Cina, 14% lain-lain. P77 Tanjung Malim, 53% Melayu, 27% Cina, 20% lain-lain. P165 Tanjung Piai, 52% Melayu, 47% Cina, 1% lain-lain. P158 Tebrau, Melayu 48%, Cina 38%, 14% lain-lain, P89 Bentong, 45% Melayu, 44% Cina, 11% lain-lain, P142 Labis, 38% Melayu, 47% Cina dan 15% lain-lain. Kerusi Labis, undi India yang menentukan.

Lihat pula kerusi DUN yang dimenangi oleh MCA di kawasan majoriti Melayu. N1 Titi Tinggi, Melayu 76.15%, 20.81%, 3% lain-lain, N4 Cheka, Melayu 70%, Cina 24.08%, 6% lain-lain, N54 Pulai Sebatang, Melayu 64%, Cina 35%, 2% lain-lain, N35 Kulim, Melayu 61%, Cina 22%, 17% lain-lain, N15 Kelebang, Melayu 60%, Cina 37%, 3% lain-lain. N24 Bemban, Melayu 59%, Cina 24%, 17 lain-lain. Gurun, Melayu 57%, Cina 26%, 17% lain-lain. N10 Damak, Melayu 56%, Cina 34%, 10% lain-lain.  N46 Chenderiang, Melayu 36%, Cina 31%, 33% lain-lain. N8 Machap, 41% Melayu, 43% Cina,  16% lain-lain. N30 Paloh, 39% Melayu, 44% Cina, 17% Lain-lain. Machap dan Paloh Cina lebih sedikit sahaja. Masih boleh dikira kawasan majoriti Melayu jika diambil kira lain-lain.

Pendek kata, jika tiada Melayu, MCA berputih mata. Bayangkan dalam PRU 14, semua kerusi ini diambil atau diberikan semula kepada Umno, atas alasan ia kawasan majoriti Melayu dan Melayu sudah meluat dengan MCA kerana terlalu kecinaan, maka tidak ada satu kerusi yang akan dimenangi MCA. Sebab itu, MCA jangan berlagak seperti jaguh dan mengugut Umno dan Barisan Nasional yang diketuai Perdana Menteri. MCA sebenar tidak sekuat mana. Realitinya, DAP dan NGO Cina lain terlalu kuat dan berpengaruh dalam masyarakat Cina bukan MCA, mahupun Gerakan.

Sebenarnya ramai tidak tahu bahawa sebahagian Cina yang kaya raya hari ini, perantaranya adalah MCA dan Gerakan. MCA dan Gerakan melalui peranannya dalam kerajaan telah memperkayakan ramai Cina. Mana mungkin Genting Highland boleh tersergam indah di puncak bukit tanpa pengantara dan tanpa belas ehsan pemimpin Melayu memberikan tanah dan laluan untuk menerokai hutan balak tersebut. Begitu juga dengan projek-projek besar yang lain dan bangunan pencakar langit yang didirikan.

Bangunan Persatuan Cina, Hua Zong itu sendiri, yang tersergam indah di Serdang, tempat berlangsung Sidang Kemuncak Belia Cina Malaysia (TN50) sabtu lalu bersama Perdana Menteri (PM), adakah langsung tidak ada bantuan kerajaan? Lebih malang lagi, daripada jauh terpacak, Bahasa Cina di atas bumbung bangunan tersebut dengan tulisan ‘Hua’ bermakna Cina. Terpacaknya nama Cina di sebuah negara berasaskan kenegaraan Melayu. Semua dibenarkan atas dasar toleransi. Pernahkah dihargai? Cuba Hua Zong pacak perkataan ‘Hua’ itu di Thailand atau Indonesia. Agak-agak boleh dapat atau tidak? Tetapi, ianya dibenarkan di Malaysia.

Jika nak disenaraikan, banyak lagi bangunan pencakar langit kepunyaan mereka berdiri megah dengan ehsan kerajaan yang diterajui Umno dengan MCA dan Gerakan menjadi orang tengah. Cuma nama sahaja berbeza. Dalam kata lain, kejayaan sebahagian jutawan Cina hari ini bukan hanya merupakan titik peluh mereka sendiri. Tanpa bantuan Umno, MCA dan Gerakan dalam kerajaan, mana mungkin mereka boleh mendapat projek yang berskala besar. Ini tidak termasuk, pesara Melayu kerajaan bergelar yang boleh dibeli untuk diletakkan sebagai pengerusi atau ‘pak pacak’ syarikat mereka bagi mendapatkan projek dan tender kerajaan.

Semua ini sudah diketahui umum. Malangnya apabila ultra kiasu ini sudah kaya, mereka hanya nampak kelemahan Umno dan kerajaan yang dipimpinnya, lantas mengundi DAP. Sedangkan DAP tidak kurang salah laku mereka. Terbaharu, insiden tanah runtuh di kawasan projek komersial dan perumahan Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang mereka bangunkan. Saya nak tengok selepas ini, adakah ultra kiasu turut akan menyalah Umno atau bagaimana.

Sikit sikit semua salah Umno. Bila dibangkitkan isu perkauman yang semakin menebal hari ini. Semua menuding jari kepada Umno yang terlampau melaungkan kemelayuan dan korupsi yang berlaku. Seolah-olah mereka semua betul. Paling banyak salah Umno. Sedangkan kekayaan yang mereka kecapi adalah hasil toleransi Umno, langsung tidak diungkit dan dibangkitkan.

Sebab itu saya mohon MCA berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris dan menghiris hati-hati Melayu seperti kenyataan pemimpin mereka dalam Sidang Kemuncak Belia Cina Malaysia di Serdang baru-baru ini. MCA berkata Umno dan PAS kini sedang giat saling ‘menggoda’ dan ‘memikat’ antara satu sama lain dan ia berpunca daripada pengundi Cina menyokong DAP pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Sebab itu katanya, masyarakat Cina di negara ini perlu kembali menyokong MCA pada PRU ke-14 bagi menghentikan amalan politik perkauman dan agama. Kata-kata ini sangat desperado dan hina sama sekali.

Saya tidak pernah hairan jika Umno dan PAS bekerja bekerjasama kerana kedua-duanya parti orang Melayu dan Islam, sebangsa dan seagama. Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga. Jika terjadi sesuatu yang ‘merugikan’ Islam, saya amat yakin tidak mustahil, kedua buah parti ini akan bersatu. Ini bukanlah sesuatu yang pelik. MCA jangan terlalu bersedap hati, parti ini boleh ditendang oleh Umno bila-bila masa kerana keberadaan MCA selama ini tidak menguntung malah banyak merugikan Umno terutama terpaksa berkongsi kawasan parlimen dan DUN. Ini tidak termasuk jawatan kabinet.

Pendek kata, ‘seburuk-buruk’ Umno di mata MCA, Umno tetap memberi laluan kepada MCA untuk bertanding dan menang di kawasan majoriti Melayu yang merupakan kerusi asal Umno. Umno terus melepaskan tali. ‘Sebaik-baik’ MCA, yang kononnya mendakwa terlalu banyak berkorban untuk negara, MCA tidak pernah memberi laluan kepada Melayu untuk bertanding di kawasan majoriti Cina. Jika Umno bertanding pun putih mata, kerana pasti undi akan pergi kepada DAP. Selepas MCA menang, jika Umno mahukan kerusi itu kembali, maka MCA akan mendakwa itu kerusi kuota mereka, kerusi bapak mereka yang punya. Umno tetap mengalah dan memberi laluan.

Sama seperti kerusi yang dipinjamkan kepada MIC seperti Cameron Highland (dahulunya dijanjikan kepada PPP) dan Hulu Selangor (kerusi tradisi Umno) misalnya. Jika Umno mahukan kembali untuk diberikan kepada parti yang difikirkan sesuai, maka mereka akan berkata kerusi itu bapak mereka yang punya. Apakah selepas ini jawatan seperti speaker Negeri Perak misalnya, jika tidak diberikan selepas PRu 14, mereka akan berkata, itu tidak adil, ini tidak adil. Makna adil ini sebenar apa?

Saya tidak tahu apa nak cakap lagi. Apa yang saya tahu, Umno dan orang Melayu terlalu banyak berkorban untuk orang Cina. Umno terus melepas tali dan melepas tali. Menjadi kebimbangan saya, suatu ketika nanti, tidak ada lagi tali yang boleh dilepaskan kerana sudah habis. Ketika itu usahkan tali, talian hayat pun tidak bererti lagi. Alahai, nasib Melayu, terlalu bertolak ansur, akhirnya ditolak beransur-ansur.

Insaflah wahai bukan Melayu ultra kiasu di bumi bertuah ini, sesungguhnya kamu cukup beruntung. Bayangkan diri kamu adalah minoriti Muslim Cina di negara China. Mampukah kamu bersabar menghadapi semua penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas Cina Muslim di sana hanya kerana mereka menjadi minoriti. Muslim Cina di China tetap sabar, kerana mereka mengakui dan memahami, mereka tinggal di negara Komunis. Mereka tetap patuh kepada sistem komunis yang tidak adil itu. Justeru, hargailah toleransi di negara tercinta ini.

Saya menjadi teramat pelik kenapa Cina tidak mengundi MCA sedangkan MCA mendakwa mereka mempunyai ahli lebih sejuta, parti kedua terbesar di Malaysia? Wahhh! Hebatnya. Kenapa MCA perlukan undi Melayu untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan daripada dahulu hingga ke hari ini meskipun mereka kalah dalam PRU demi PRU di kawasan Cina?

Apa yang berlaku dalam PAS dan Umno hari ini sebenarnya sudah lama berlaku antara MCA, Gerakan dan DAP. Cina MCA dan Gerakan pakat-pakat mengundi DAP. Jika tidak kenapa satupun MCA tidak mendapat kerusi di kawasan majoriti jika parti Cina ini mendakwa mereka adalah parti kedua terbesar selepas Umno? Saya harapkan Pejabat Pertubuhan (RoS) akan teliti keahlian yang didakwa oleh ultra kiasu ini, kerana saya tidak yakin MCA mempunyai keahlian sebegitu ramai dan MCA bukan menjadi pilihan majoriti Cina. Cina ada pilihan ‘lebih baik sedikit’ seperti DAP.

Menjadi MCA dan Gerakan sememangnya sangat beruntung. Menang atau kalah pilihan raya, MCA dan Gerakan tetap menang. Mereka tidak perlu risau kerana jawatan senator sentiasa menanti untuk dilantik sebagai Menteri mewakili orang Cina, sedangkan orang Cina tidak mengundi mereka.

Ingatan saya kepada Umno, jangan atau berhentilah memberi lagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA. Biar dia bergasak dengan DAP di kawasan majoriti Cina. Jika mereka kalah ke semua kerusi kawasan Cina, tidak perlu lagi dilantik sebagai senator bagi membolehkan mereka merasai kerusi menteri. Biarkan mereka meopong

Lantik sahaja wakil-wakil Cina yang tidak ultra kiasu yang terdiri daripada bukan ahli politik seperti Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong, Hu Pang Chaw, dan beberapa peimpin Parti Cinta Malaysia seperti Huan Cheng Guan dan lain-lain Cina yang tidak ultra kiasu. Selain itu, saya fikir Cina daripada Kelantan dan Terenganu lebih menghayati semangat 1Malaysia berbanding dengan Cina totok MCA. BM Cina Kelantan dan Terengganu sangat baik, selain asimilasi yang berlaku. Orang sebegini layak dilantik dan diangkat sebagai pemimpin. 

Melantik MCA ini seperti membela biawak hidup. Beban kepada Umno. Mereka secara lantang menentang RUU 355 dan agenda Islam yang tidak ada kaitan dengan mereka. Kata pemimpin mereka dalam Perhimpunan Belia Cina itu, “bantahan daripada MCA menyumbang kepada keputusan Umno membatalkan sokongan terhadap rang undang-undang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 baru-baru ini” Benarkah kenyataan ini? Ultra kiasu kena buktikan. Jangan nak jadi jaguh. Lembu punya susu sapi punya nama.

Jawapannya, semua orang tahu. Fakta sebenarnya adalah kerana bantahan daripada pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang menjadi kebimbangan Umno, bukan bantahan MCA. Parti nyamuk ini MCA yang didakwa mempunyai keahlian lebih sejuta tidak pernah menjadi faktor ketakutan kepada orang Melayu. Jika benarpun ramainya ahli MCA, kebanyakan mengintai projek dan tender, bila sudah dapat, menjadi kaya raya, mengundi  dan membantu DAP daripada segi kewangan.

Pemimpin MCA seterusnya berkata, tanpa MCA Malaysia akan menjadi negara teokrasi atau negara Islam yang bersumberkan undang-undang Islam. MCA katanya, akan cuba sedaya upaya menghentikannya daripada terjadi. Nyata sekali kenyataan ini amat kurang ajar. Perlu dingat, negara ini adalah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu. Sejarah awal membuktikan bagaimana undang-undang Islam itu tertegak ketika Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bacalah sejarah ini. Justeru, orang Melayu Islam mempunyai hak untuk mendapatkan cara hidup dan hidup dalam undang-undang mereka sebelum ini.

Sama seperti hak Cina untuk menguatkan sistem Komunis di negara mereka sehingga terhapuskan tradisi sistem beraja. Jika negara China boleh lakukan, kenapa Melayu tidak boleh mendapat haknya di buminya sendiri. Pemimpin MCA ini datang daripada mana?

Lebih memeranjatkan lagi kata pemimpin ultra kiasu itu “ramai orang kata MCA sudah tidak lagi relevan. Itu salah. MCA sekarang parti kedua terbesar…” Benarkah? Saya cabar pemimpin ultra kiasu ini untuk tunjukkan keahlian MCA sebenar? Jika begitulah besar keahlian, kenapa pemimpin mereka tidak pernah menang dalam kawasan majoriti Cina, sedangkan MCA adalah parti Cina yang tulin?

Untuk makluman, dalam program yang sama PM turut mengingatkan MCA supaya memastikan penguasaan bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dapat ditingkatkan untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini. PM berkata, perkara ini penting kerana bahasa Melayu adalah medium komunikasi yang mampu mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat dan seharusnya dikuasai semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan bangsa.

Tahniah PM. Jadikan ini sebagai syarat utama untuk membina SJKC sekiranya terus didesak oleh ultra kiasu. Selagi mana mereka tidak dapat menguasai BM dengan baik, jangan dibina lagi SJKC. Pergilah buat kajian di SJKC, lihatlah berapa ramai yang boleh berkomunikasi, menulis dan membaca BM dengan baik. Lihat juga peratusan yang lulus BM dalam UPSR. Berapa ramai yang gagal dan mendapat gred lulus sahaja. Itu sudah cukup untuk membuktikan sama ada tahap pencapaian BM mereka.

Apapun MCA tidak ada pengaruh dalam kalangan masyarakat Cina dan Sekolah Cina. NGO Cina seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong tidak pernah heran dengan MCA. Sebab orang Cina lebih mempercayai NGO Cina daripada parti Cina MCA ini.

Terus terang saya katakan, jangan harap SJKC boleh membantu kerajaan untuk mempromosikan BM sebagai bahasa perpaduan kerana operasinya tersangat kecinaan. Apakah selama ini kita tidak sedar bahawa mereka menolak semua program memperkasakan BM di SJKC kerana takut lahirnya Cina Pisang iaitu Cina yang tidak menguasai sepenuh bahasa CIna atau dalam kata lain, mereka tidak menjadi secina-cinanya

Sehingga kini. saya masih tertanya-tanya, sebenarnya Cina Malaysia mahu menjadi Cina yang bagaimana? Orang Cina daripada negara China yang datang melihat Cina di sini terkejut besar melihat proses pencinaan di sini. Mereka yang berada di China pun tidak dapat menjadi secina-cinanya di negara mereka sendiri. Kenapa Cina di Malaysia sebegitu Cina sehinggakan lebih Cina daripada Cina di China. Sebenarnya MCA mahu apa? Ingatan saya, jangan terlalu mendesak lagi. Hati-hati apabila berkata terutama perkara berkaitan dengan Melayu dan cara hidup orang Islam, yang mana melibatkan Umno dan PAS secara langsung. Jika Umno dan PAS mahu bekerjasama, itu hak mereka, yang kamu sakit telur kenapa? Takut menjadi tidak relevan! Sudahlah! Jika sudah tidak ada kerja, jaga ahli MCA baik-baik yang didakwa kedua terbesar selepas Umno. Pastikan mereka tidak ultra kiasu dan tidak menjadi duri dalam daging.

Prof Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post MCA jangan hiris hati Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian