Mufti Ismail Menk, ustaz Bollywood dilarang berceramah di Singapura
BANGI, 10 Safar 1439H, Isnin – Ulama terkenal yang juga Mufti Zimbabwe, Sheikh Ismail Menk dan penceramah bebas Malaysia, Ustaz Haslin Baharim, tidak lagi dibenar memasuki Singapura, kata Kementerian Dalam Negeri republik itu, hari ini.
Mengikut laporan, keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.
Menurut kenyataan kementerian itu, kedua-duanya dijadual berceramah di atas sebuah kapal yang belayar dari dan berakhir di Singapura pada 25 hingga 29 November ini.
Kedua-duanya sebelum ini pernah memohon mendapatkan pas kerja pelbagai bagi mengadakan ceramah di Singapura, tetapi ditolak.
Ismail Menk sebelum ini dituduh mengajar ajaran yang boleh menyebabkan perpecahan.
Manakala, Ustaz Haslin pula menyifatkan bukan Islam sebagai ‘menyimpang’ dan memberi pandangan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian di antara orang Islam dan bukan Islam.
“Mereka tidak diterima dalam konteks Singapura sebagai sebuah negara pelbagai bangsa dan agama,” kata kenyataan itu.
MUIS pula berkata, mereka tidak menyokong permohonan penceramah luar yang mempunyai pandangan bertentangan dengan kod etika Skim Pengiktirafan Asatizah (guru agama).
Ini termasuk mereka yang mempunyai pandangan yang tidak sesuai dengan Singapura yang berbilang agama.
MUIS berpendapat, ajaran kedua-dua penceramah itu bertentangan dengan nilai yang dianuti umat Islam Singapura.
The post Mufti Ismail Menk, ustaz Bollywood dilarang berceramah di Singapura appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan