Naib Presiden I-Medik terima Anugerah Wanita Cemerlang Kedah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Muharram 1439H, Selasa – Naib Presiden Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dipilih sebagai penerima Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Kedah, sempena Sambutan Hari Wanita dan Fiesta Usahawan Wanita yang berlangsung semalam.

Dr Rafidah Hanim ketika dihubungi Ismaweb berkata, beliau pada awalnya tidak pernah mengetahui berkenaan anugerah tersebut sehinggalah dimaklumkan oleh pejabat Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Pembangunan Negeri Kedah sehari sebelum majlis itu.

Beliau yang juga Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) mengakui masih terkejut dengan anugerah bagi kategori Kepimpinan Kesihatan berkenaan, dan bersyukur diberi penghargaan itu.

“Penghargaan yang tak terhingga untuk suami tercinta, Dr Azizi Ayob yang sentiasa memberi sepenuh sokongan, memandu sekali lagi ke utara walaupun baru sahaja pulang dari Kuantan.

“Tidak lupa juga buat mama dan abah serta anak-anak yang menjadi pembakar semangat, termasuklah sahabat-sahabat dalam gerak kerja dakwa di Isma, I-Medik dan WAFIQ, juga sahabat di USIM dan IIUM.

“Semoga Allah s.w.t tidak melekakan saya dengan anugerah ini, sebaliknya memohon agar sentiasa ‘thabat’ dijalannya yang lurus,” katanya yang juga Timbalan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau menerima trofi dan cenderahati yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Anugerah berkenaan diberikan bagi menghargai dan mengiktiraf wanita-wanita cemerlang yang telah berkhidmat, menyumbang dan mengharumkan nama negeri itu bersempena Hari Wanita Tahun 2017 peringkat Kedah.

Berkongsi cabaran sebagai pendidik dan aktivis masyarakat, ibu kepada enam anak ini berkata, apa yang menjadi fokus utamanya adalah memasyarakatkan bahasa Sains dan perubatan supaya terdidik dengan maklumat kesihatan yang sahih.

“Begitu juga memahamkan masyarakat tentang konsep Maqasid Syariah dalam kesihatan agar masyarakat faham bentuk rawatan yang berlandaskan prinsip syariah yang benar, dan bukannya tampalan ayat Quran atau hadis oleh mereka yang bukan ahli, tanpa pembuktian keberkesanan rawatan,” katanya.

Bercerita dari sudut peranan wanita pula, Dr Rafidah berkata, golongan ini perlu mempersiapkan diri dengan ilmu Islam yang sebenar supaya hidup dan aktiviti sentiasa berpandukan syarak serta memanfaatkan keluarga juga masyarakat.

“Wanita hari ini, khususnya muslimah terdedah kepada berbagai ideologi moden yang ada di antaranya tidak berpaksikan ajaran Islam sebenar,” katanya.

Beliau yang berkhidmat sebagai pensyarah Fisiologi USIM itu juga antara aktivis NGO yang bergiat aktif dalam menyuarakan isu-isu berkaitan wanita dan keluarga.

Julai tahun lalu, beliau menamatkan kursus Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review – UPR) di Geneva, Switzerland anjuran Geneva International Centre for Justice (GICJ), bagi mendapat maklumat, input dan penjelasan mengenai proses UPR, Majlis Hak Asasi Malaysia serta beberapa prosedur yang boleh digunakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya berkenaan wanita.

Selain itu, beliau juga pernah dijemput mewakili NGO Wanita Islam dalam ‘Panel discussion on women’s and children’s rights in Malaysia’ anjuran pihak kedutaan negara-negara Eropah (delegasi EU), membincangkan hak-hak wanita dalam Islam vs feminisme.

Dr Rafidah juga merupakan panel rujukan bagi Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam merangka ‘Garis panduan pengendalian masalah kesihatan gender di Klinik Kesihatan’ dan organisasi bukan kerajaan yang melibatkan transgender seperti Persatuan Insaf Pahang (PIP).

The post Naib Presiden I-Medik terima Anugerah Wanita Cemerlang Kedah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian