Pelajar Universiti Manchester bantah sambutan 100 Tahun Deklarasi Balfour

LONDON, 24 Muharram 1439H, Sabtu – Persatuan pelajar Universiti Manchester membantah program sambutan 100 Tahun Deklarasi Balfour yang turut dianjurkan oleh Kedutaan Israel dan bakal diadakan di universiti itu pada 31 Oktober ini.

Dalam surat terbuka yang dihantar kepada Presiden dan Naib Canselor universiti itu, Dame Nancy Rothwell, pelajar menggesa program berkenaan dibatalkan kerana mereka bimbang dengan pembabitan Persekutuan Zionis Great Britain dan Kedutaan Israel.

Membantah hubungan berterusan antara universiti itu dan rejim Israel, pelajar bertanya Rothwell sama ada universiti sedar atau tidak program yang dirancang itu akan menyambut deklarasi yang menyebabkan pengusiran kira-kira 800,000 rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka serta kemusnahan lebih 400 perkampungan ketika Al-Nakba pada 1948.

Surat itu ditandatangani oleh sembilan persatuan pelajar universiti berkenaan, termasuk aktivis antirasis. Mereka menegur universiti berkenaan kerana tidak tahu mengenai sejarah Deklarasi Balfour.

“Adakah universiti tidak menyedari bahawa Deklarasi Balfour akhirnya membawa kepada pembunuhan beramai-ramai orang yang tidak bersalah, dan pendudukan haram di Tebing Barat dan Gaza selama 50 tahun?

“Sambutan jahat ini membabitkan hubungan Universiti Manchester dengan institusi Israel yang terlibat dalam jenayah perang,” kata pelajar dalam surat itu.

Surat yang dihantar itu mencerminkan ketegangan yang semakin meningkat dalam hubungan antara persatuan pelajar dan pengurusan universiti berkenaan yang dilihat tidak mahu memisahkan hubungan dengan institusi Israel. Bulan lalu, universiti itu menghalang kebebasan bersuara pelajar selepas menerima tekanan Israel.

Deklarasi Balfour ialah satu surat bertarikh 2 November 1917 dari Menteri Luar Britain, Arthur James Balfour kepada Lord Rothschild, pemimpin komuniti Yahudi Inggeris, untuk dikirimkan kepada Zionis.

Surat itu menyatakan polisi yang dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet Inggeris pada 31 Oktober 1917 iaitu antara lain menyebut bahawa pemerintah Inggeris menyokong rancangan Zionis mewujudkan negara Yahudi di Palestin. Dalam erti kata lain, deklarasi itu memberi hak kepada Yahudi menduduki dan menjajahi bumi Palestin serta membentuk negara haram Israel.

Ia adalah batu asas penjajahan ke atas bumi Palestin yang diletakkan oleh Britain dan secara rasmi menafikan hak kewujudan rakyat Palestin ke atas bumi dan tanah air mereka sendiri.

Deklarasi Balfour sebenarnya dikeluarkan oleh pihak yang tidak memiliki apa-apa hak ke atas bumi Islam Palestin iaitu Inggeris kepada pihak yang tidak berhak menerimanya iaitu Yahudi untuk membina negara haram Israel.

Ia adalah semata-mata untuk kepentingan Inggeris bagi menyelesaikan masalah Yahudi di Eropah, ingin memecahbelahkan kesatuan umat Islam di dunia Arab serta bermatlamat memudahkan negara-negara Barat membuat percaturan politik mereka di Timur Tengah dan merealisasikan kepentingan mereka setelah wujudnya negara Yahudi iaitu Israel. – Agensi

The post Pelajar Universiti Manchester bantah sambutan 100 Tahun Deklarasi Balfour appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian