Pertama kali dalam 15 tahun Israel lulus bina rumah di pusat utama Hebron

JERUSALEM, 26 Muharram 1439H, Isnin – Buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun, pentadbiran rejim Zionis hari ini meluluskan pembinaan penempatan Yahudi di bandar Palestin – Hebron.

Rejim Tel Aviv merancang membina 13 unit kediaman di Beit Romano di Bandar Lama Hebron, di tapak yang sepatutnya digunakan sebagai stesen bas di Jalan Shuhada. Bersebelahannya adalah kem tentera Israel yang sepatutnya menjadi sekolah Palestin.

Jalan Shuhada merupakan pusat komersial utama di Bandar Lama Hebron, ditutup oleh tentera rejim Zionis sejak 1994. Warga Palestin pula dilarang memasuki jalan itu, menjejaskan kehidupan dan kediaman mereka.

“Keputusan membina penempatan itu mencabar komuniti antarabangsa dan melanggar undang-undang serta perjanjian antarabangsa.

“Ini menyebabkan kehidupan warta Palestin di Bandar Lama akan lebih terjejas, yang kini terpaksa berdepan dengan pemeriksaan di sekatan jalan, penutupan dan serangan berterusan oleh pendatang Yahudi serta tentera Israel,” kata aktivis belia di Hebron, Issa Amro.

Warga Palestin bagaimanapun, boleh merayu kepada keputusan itu, di mana kemungkinan pembinaannya akan ditangguh.

Datuk Bandar Hebron, Tayseer Abu Sneneh berkata, keputusan itu adalah pencerobohan terang-terangan terhadap harta perbandaran Hebron.

“Kami akan menentang keputusan itu secara sah dan memohon campur tangan politik bagi memberi tekanan kepada Israel,” katanya.

Aktivis Peace Now, Hagit Ofran pula berkata, kelulusan itu akan menambah bilangan pendatang Yahudi di Hebron kepada 20 peratus.

“Ketika melakukan segala-galanya untuk membantu sekumpulan pendatang minoriti, Benjamin Netanyahu, hanya merosakkan imej Israel di mata dunia, sambil menghancurkan nilai-nilai asas hak asasi manusia dan maruah,” katanya.

Media melaporkan dalam tempoh beberapa hari akan datang, beberapa lagi kelulusan pembinaan rumah, sehingga 3,800 unit, dijangka diberikan di seluruh tanah jajahan di Tebing Barat.

Ini akan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 6,500 unit kediaman tahun ini. Berbanding 2015 tidak sampai 2,000 unit dan tahun lalu 2,700 unit.

Hebron, bandar terbesar di Tebing Barat, dibahagikan kepada dua kawalan yang disenaraikan sebagai H1 dan H2 pada 1997.

H1 adalah di bawah kawalan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan menempatkan kira-kira 200,000 warga Palestin, atau di Bandar Lama sahaja terdapat 35,000 warga Palestin, selain 700 pendatang Yahudi.

Pendatang itu yang berada di bawah undang-undang awam Israel tinggal di empat penempatan di Bandar Lama dan dikawal ketat oleh tentera rejim.

Warga Palestin di H2 pula hidup di bawah kawalan tentera dan berdepan pelbagai langkah yang menjejaskan kebebasan mereka untuk bergerak, termasuk puluhan sekatan pemeriksaan dan larangan di laluan pejalan kaki.

Julai lalu, lebih 100 pendatang Yahudi merampas rumah warga Palestin di pusat Bandar Lama, yang turut menempatkan Masjid Ibrahimi yang juga dikenali sebagai ‘Cave of the Patriarchs’.

Israel telah membina ratusan penempatan di seluruh Tebing Barat dan Jerusalem Timur, yang kini mencecah sehingga 600,000 pendatang.

Komuniti antarabangsa menyifatkan penempatan itu sebagai haram dan melanggar Konvensyen Geneva, yang menyatakan adalah menjadi kesalahan kepada kuasa yang menjajah untuk memindahkan populasinya ke dalam wilayah yang diduduki. – Agensi

The post Pertama kali dalam 15 tahun Israel lulus bina rumah di pusat utama Hebron appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian