Pesakit buah pinggang disyor lakukan dialisis di rumah

KUALA LUMPUR, 5 Safar 1439H, Rabu – Pesakit buah pinggang terutamanya di kawasan pedalaman digalakkan melakukan sendiri rawatan dialisis atau mencuci buah pinggang di rumah bagi mengelakkan kerap berulang ke pusat dialisis atau hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kaedah rawatan dialisis di rumah atau “continuous ambulatory peritoneal dialysis” (CAPD) itu bukan sahaja memudahkan urusan rawatan tetapi juga mengurangkan kos pesakit.

Beliau berkata pesakit perlu melakukan CAPD selama setengah jam, 4 kali sehari di rumah serta memerlukan pesakit ke hospital 2 bulan sekali untuk pemeriksaan doktor, berbanding ke hospital setiap minggu untuk rawatan.

“Para pesakit dilatih untuk melakukannya sendiri dengan mematuhi aspek kebersihan secara teliti. Kaedah ini juga lebih murah berbanding di hospital yang mencecah RM200 sekali rawatan,” katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dr Hilmi menjawab soalan Ahli Parlimen Stampin Julian Tan Kok Ping berhubung masalah kekurangan tempat dialisis di hospital dan klinik kerajaan dengan penambahan jumlah pesakit dialisis terutamanya di kawasan luar bandar.

Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata dengan melakukan CAPD, ia dapat menjimatkan kos rawatan setiap tahun kepada RM25,000 bagi seorang pesakit berbanding RM40,000 bagi rawatan di pusat dialisis.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan akan terus mewujudkan lebih banyak pusat dialisis di seluruh negara bagi menampung peningkatan jumlah pesakit buah pinggang setiap tahun.

Katanya bagi menggalakkan lebih banyak pihak swasta menubuhkan pusat dialisis di negara ini, kerajaan turut memperuntukkan dana secara sekali gus berjumlah RM20 juta untuk tujuan berkenaan. – Bernama

The post Pesakit buah pinggang disyor lakukan dialisis di rumah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian