PPIM cadang tubuh jawatankuasa pantau pelaksanaan Bajet 2018

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Safar 1439H, Sabtu – Satu jawatankuasa atau sekretariat pemantau perlu ditubuh bagi memastikan semua rancangan dalam Bajet 2018 yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak semalam, dapat dilaksanakan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, rakyat tidak mempunyai masalah dengan kandungan belanjawan semalam, yang dilihat menawarkan banyak manfaat dan peluang.

Bagaimanapun, apa yang menjadi kebimbangannya adalah bagaimana rancangan tersebut dilaksanakan dan direalisasikan sejajar seperti terkandung dalam belanjawan yang dikatakan sebagai ‘ibu segala bajet’ itu.

“Bajet 2018 tiada masalah. Malah ia boleh membuat ramai orang tersenyum, cuma tidak pasti sama ada senyuman itu selamanya atau sementara.

“Apa yang kita bimbang adalah pelaksanaannya. Contoh, kerajaan kata peruntukan RM5,000 untuk teksi, tetapi belum tentu dia layak beli teksi kerana mempunyai CTOS dan CCRIS. Maka, tiada guna, seperti Teksi 1Malaysia sebelum ini. Begitu juga dengan tawaran rumah PR1MA,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Mengulas peruntukan bagi sektor kesihatan, jelas beliau, RM17 bilion adalah satu jumlah besar dan ianya sangat memadai untuk dinikmati oleh rakyat.

Namun katanya, kerajaan gagal melihat sudut berbeza dengan menyediakan juga peruntukan melalui aspek mengelakkan daripada penyakit, yang dianggap lebih penting.

“Apa pun, kita mengalu-alukan sebarang bentuk kebaikan yang dibawa kerajaan dan berharap ianya dapat dilaksanakan, supaya tidak sekadar ditulis indah dalam kertas semata-mata.

“Kita perlu pihak bertanggungjawab memantau belanjawan itu supaya dapat dilaksanakan, dan praktikal untuk dilaksana,” katanya.

The post PPIM cadang tubuh jawatankuasa pantau pelaksanaan Bajet 2018 appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian