Saya tak ikut cara pemimpin lama, kesan buruk kepada kebajikan rakyat

BANGI, 4 Safar 1439H, Selasa – “Anda tidak akan mendengar tentang semua ini daripada pembangkang atau seorang bekas pemimpin negara yang taksub dengan kuasa dan mahu terus memerintah meskipun dalam persaraan, dan menyalahkan saya atas kekalahan anaknya dalam perlumbaan untuk menjadi Naib Presiden UMNO pada tahun 2013.”

Demikian kata Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan ‘Visi Ekonomi Saya Untuk Malaysia’ dalam blog beliau hari ini.

Walaupun, tidak menamakan siapa pemimpin berkenaan, bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun yang pernah membimbing, mengekalkan beliau dalam Kabinet serta menyokongnya menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, dipercayai Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sasaran yang dimaksudkan.

Ini kerana, Dr Mahathir sejak keluar daripada UMNO menjadi penentang Najib, selepas tercetusnya dakwaan Perdana Menteri turut bersekongkol dengan pihak tertentu menyeleweng wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Apatah lagi apabila, laporan mendedahkan bahawa terdapat RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib yang menurut Perdana Menteri ia didermakan oleh ‘orang Arab’. Dr Mahathir turut menuduh Najib dan konco-konconya mencuri wang kerajaan selain menyifatkan Malaysia kini menjadi Darul Penyangak.

Dr Mahathir yang pernah menjadi Presiden UMNO selama 22 tahun, keluar UMNO selepas rombakan Kabinet yang menyaksikan penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Beliau kini adalah penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), manakala Muhyiddin adalah presiden.

Dalam blognya itu, Najib juga berkata, beliau tidak mahu mengikut cara pemimpin berkenaan kerana yakin Malaysia memerlukan visi baharu.

“Saya enggan mematuhi cara beliau kerana saya yakin bahawa Malaysia memerlukan visi baru, jauh dari cara lama yang telah membawa kepada masalah legasi yang serius yang kita hadapi sebelum ini serta membawa kesan buruk terhadap kebajikan rakyat,” kata Perdana Menteri Malaysia ke enam itu.

Najib turut menjelaskan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan kepada rakyat adalah penyumbang utama pendapatan kerajaan yang dapat mengelak negara daripada mengalami kemelesetan ekonomi berikutan kejatuhan harga minyak dunia pada 2014.

Beliau berkata, GST adalah pengganti kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang tidak cekap, rumit dan tidak berfungsi dengan baik, sama ada untuk pengguna ataupun perniagaan.

Selain itu, Najib menjelaskan mengenai 1MDB yang menurutnya berperanan penting dalam menyelesaikan perjanjian kuasa berat sebelah yang telah ditandatangani oleh seorang bekas pemimpin.

“1MDB juga telah membiayai pembinaan dan penambahbaikan lapan pangkalan tentera yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan pada masa dahulu. Ia juga telah membiayai beribu-ribu biasiswa dan perjalanan Haji untuk para jemaah,” katanya.

Mengenai nilai mata wang ringgit, Najib berkata, menambat ringgit dan melaksanakan semula kawalan modal adalah perkara paling mudah untuk beliau lakukan, tetapi setelah mengalami kekurangan pelaburan selepas kawalan modal dan menambat ringgit dari tahun 1998 hingga 2005, keputusan itu tidak dibuat.

Katanya, walaupun ada yang memberi tanggapan bahawa ia lemah, prestasi ringgit Malaysia sebenarnya lebih baik daripada mata wang banyak negara pengeksport komoditi besar yang lain, sejajar dengan prestasi ekonomi kita yang terus baik.

Malaysia sudah jadi Darul Penyangak, kata Dr Mahathir

The post Saya tak ikut cara pemimpin lama, kesan buruk kepada kebajikan rakyat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian