Sayalah yang persetankan DAP, kata Tun Dr Mahathir

BANGI, 16 Muharram 1439H, Jumaat – “Sayalah orangnya yang mempersetankan DAP. Dalam politik jika kita nak kalahkan musuh, kita terpaksa memburukan imej musuh. DAP adalah musuh parti saya dan saya sendiri.”

Demikian tegas Penasihat Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas ramai orang Melayu percaya dengan dakwaan bahawa parti rasis dan cauvinis DAP akan memerintah Malaysia, malah Lim Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri, jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah.

Malah, katanya, ada di kalangan mereka yang menganggap beliau sudah mengkhianati Melayu apabila bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.

Katanya, pendekatan mempersetankan DAP yang beliau ambil sebelum ini amat berkesan sehingga orang Melayu sekarang ini tidak boleh menerima parti itu dan sesiapa sahaja yang mendampinginya.

“Hari ini saya sendiri yang mendampingi DAP. Maka pada ramai orang UMNO terutamanya, saya sudah khianati mereka.

“Saya tidak akan berbuat demikian jika DAP benar-benar syaitan. Sebelum saya ramai juga pemimpin tertinggi Melayu yang bekerjasama, bahkan menyokong DAP. Di antara mereka ialah Tunku Abdul Rahman, (Bapa Kemerdekaan) dan Tengku Razaleigh Hamzah. Anwar Ibrahim juga bekerjasama dengan Kit Siang dan DAP.

“Pemimpin PAS, Hadi Awang biasa berpeluk Kit Siang dan berada dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pada PRU 12 dan 13. PAS menang besar apabila disokong oleh orang Cina DAP,” katanya semalam.

Bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun itu berkata, beliau mula bekerjasama dengan DAP apabila Kit Siang menyokong Deklarasi Rakyat yang bertujuan menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Ketika itulah, katanya, perjuangan politik mereka menjadi sama dan berpendapat menjatuhkan Najib lebih penting daripada sengketa antara kami.

“Hakikatnya ialah di Malaysia yang berbilang kaum, tidak ada satu parti atau satu kaum yang boleh menang dalam PRU sehingga menubuh Kerajaan Malaysia. Hanya parti campuran sahaja yang boleh kuasai cukup bilang untuk mendiri Kerajaan.

“UMNO dengan sendirinya tidak mungkin menang dan tubuh Kerajaan. Hari ini pun UMNO hanya mempunyai 88 wakil rakyat dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 220 kerusi. UMNO perlu sokongan MCA, MIC dan banyak parti-parti lain (13 buah parti).

“Demikian juga dalam parti-parti yang menentang BN. Tidak ada satu parti yang boleh diri Kerajaan dengan sendirinya. Hanya parti campuran yang boleh menewas BN,” katanya.

Dr Mahathir berkata, pengundi Cina kurang dari pengundi Melayu, tetapi Melayu berpecah kepada empat parti iaitu UMNO, PKR, AMANAH dan PPBM.

“Apabila UMNO berlawan dengan parti lain samada dua penjuru atau tiga atau lebih, undi pengundi Cina yang akan menentukan UMNO menang atau tidak. Demikian juga dengan parti lawan.

“Menyedari hakikat ini maka parti lawan juga perlu mendapat sokongan pengundi Cina. Sebab itulah Pakatan Harapan bekerjasama dengan DAP. DAP juga sedar untuk menang lawan dengan MCA atau Gerakan, pengundi Melayu diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, DAP bukan parti Cina seperti MCA kerana parti itu terbuka kepada semua kaum, malah pemimpin dan wakil rakyatnya juga bukan semua Cina seperti MCA, sebaliknya mempunyai bangsa Melayu dan India.

Katanya, sebagai parti berbilang kaum DAP tidak boleh menggunakan hanya bahasa Cina sahaja seperti MCA, tetapi bahasa Kebangsaan dalam mesyuaratnya, malah wakil rakyat Cina daripada DAP boleh bertutur dalam bahasa Kebangsaan lebih baik daripada wakil MCA.

“DAP tidak dapat memiliki lebih dari 50 wakil rakyat dalam Dewan Rakyat kerana jumlah kawasan parlimen Cina terhad. (Sekarang DAP hanya mempunyai 35 wakil rakyat) Bukan semua wakil rakyat DAP terdiri dari orang Cina.

“Jika Pakatan Harapan menang DAP tidak boleh tuntut jawatan Perdana Menteri untuk partinya. Dan Kit Siang tidak mungkin jadi Perdana Menteri. Dakwaan bahawa Kit Siang akan jadi Perdana Menteri ini diguna oleh Najib untuk menakutkan UMNO dan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, majoriti wakil rakyat, jika Pakatan Harapan menang akan terdiri daripada orang Melayu dan ramai daripadanya berminat untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak akan menyerahkan keputusan kepada DAP untuk memilih Perdana Menteri.

“Sebaliknya sila teliti dasar-dasar Najib. Ia percaya orang Melayu boleh ditakutkan dengan cerita Kit Siang menjadi Perdana Menteri. Pendapat Najib ialah orang Melayu lebih mudah disuap dengan wang. Kerajaan Najib yang ada sekarang berharap wang yang dicuri dari 1MDB boleh beli orang Melayu.

“Percayalah jika Najib menang orang Melayu akan menderita kerana dasar-dasar Najib hanya untuk mengekal dirinya sebagai Perdana Menteri. Hari ini pun orang Melayu merasai tekanan.

“Pakatan Harapan bukan milik DAP atau Kit Siang. Pakatan Harapan adalah untuk Malaysia yang berjaya dan dihormati seluruh dunia,” katanya.

The post Sayalah yang persetankan DAP, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian