Strategi ‘Cloud First’ diperkenal dalam agenda nasional: Najib
PUTRAJAYA, 29 Muharram 1439H, Khamis – Strategi “Cloud First” atau Pengkomputeran Awan Pertama akan diperkenalkan dalam agenda nasional, bermula dengan sektor awam, kerana ia amat penting bagi transformasi digital organisasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata penggunaan strategi itu akan membolehkan kerajaan segera melaksanakan perkhidmatan sektor awam inovatif tanpa membabitkan perbelanjaan modal tinggi untuk melabur dalam infrastruktur Teknologi Maklumat (IT) seperti pusat data, pelayan dan penyimpanan data.
“Ini membolehkan kerajaan memperuntukkan sumber bagi program-program yang memberi lebih impak kepada rakyat.
“Dengan adanya strategi ini, tidak diragui bahawa kerajaan mengambil langkah menerajui penerapan transformasi digital,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke-29 di Perdana Putra, di sini, hari ini.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan timbalannya Datuk Jailani Johari, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Najib berkata kerajaan juga boleh mempermudahkan penggunaan strategi itu oleh sektor swasta.
Dalam kes industri terkawal seperti perkhidmatan perbankan dan kewangan, penjagaan kesihatan serta telekomunikasi, beliau berkata para pengawal digalakkan mempercepatkan penerbitan garis panduan progresif bagi syarikat dalam sektor itu untuk mengaut faedah daripada strategi itu dan pada masa sama mematuhi peraturan.
Najib berkata kerajaan juga akan membangunkan Kerangka Kepintaran Buatan (AI) Kebangsaan, diperluaskan daripada Kerangka Analitik Data Besar (BDA) Kebangsaan yang akan diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC).
Beliau berkata dalam dunia yang kini dihubungkan secara digital, jelas bahawa AI akan menjadi kuasa pemacu dalam revolusi industri keempat.
“AI boleh menjadi “pencetus perubahan” dalam menambah baik kehidupan rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama
The post Strategi ‘Cloud First’ diperkenal dalam agenda nasional: Najib appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan