Sultan Selangor berkenan tarik balik tauliah mengajar Zamihan

BANGI, 26 Muharram 1439H, Isnin – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini berkenan menarik balik tauliah mengajar yang diberikan kepada Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Mat Zin.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata, baginda turut menitahkan supaya keahlian Zamihan dalam Jawatankuasa Tauliah Negeri Selangor dibatalkan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Sultan Selangor berbincang dengan Dewan Diraja Selangor hari ini, supaya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengambil tindakan mengikut peruntukan Peraturan 17, Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Katanya, tindakan itu dibuat berikutan satu ceramah yang disampaikan oleh Zamihan yang mengandungi perkataan-perkataan yang bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja.

“Tambahan pula, ceramah agama yang disampaikan oleh beliau diadakan di Masjid Diraja, yang ceramah seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Sultan Selangor juga menitahkan dua perkara yang perlu dilaksana dan dikuatkuasakan oleh semua pengurusan masjid dan surau di Selangor.

Pertama, semua pengurusan masjid dan surau di seluruh Selangor perlu membuat rakaman video bagi setiap ceramah dan kuliah yang diadakan di tempat masing-masing bagi merekod dan memantau setiap isi kandungan ceramah.

Hanafisah berkata, langkah itu bertujuan memastikan setiap isi kandungan ceramah mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

Baginda juga, katanya, menitahkan supaya penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di seluruh Selangor hendaklah dihadkan di dalam masjid dan surau, bukan sehingga di luar, kecuali untuk azan dan bacaan ayat suci al-Quran.

Katanya, larangan itu bagi memelihara imej agama Islam yang mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

“Raja-raja Melayu berpendirian bahawa imej Islam sebagai Agama Persekutuan adalah agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif dan wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga mengingatkan kepada semua rakyat Negeri Selangor untuk menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan demi kestabilan dan keamanan negara,” katanya.

The post Sultan Selangor berkenan tarik balik tauliah mengajar Zamihan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian