Wanita muslim hamil dipaksa keluar dari pesawat kerana anjing
WASHINGTON, 17 Muharram 1439H, Sabtu – Gara-gara mengadu alah kepada anjing, seorang wanita yang hamil dua bulan mendakwa perkauman dan keagamaan menyebabkan dia dipaksa keluar dari pesawat Southwest Airlines, minggu lalu.
Profesor dari Kolej Institut Kesenian Maryland, Anila Daulatzai mendakwa, polis memaksanya keluar dari pesawat yang akan berlepas ke Los Angeles di Lapangan Terbang Baltimore-Washington.
Pegawai syarikat penerbangan mendakwa, Anila dikeluarkan dari pesawat itu kerana memberitahu dia alah kepada sepasang anjing yang turut berada dalam pesawat itu yang boleh mengancam nyawanya.
Bagaimanapun, Peguam Anila menafikan tuduhan ini dan mendakwa wanita berkenaan ‘difitnah, didera, disoal, ditahan, dan menjadi sasaran tuduhan palsu serta trauma perkauman, dimalukan dihadapan orang ramai kerana beliau adalah seorang wanita, seorang yang berbeza warna kulit, dan seorang muslim’.
Peguam itu berkata, Anita memberitahu kakitangan penerbangan bahawa dia mempunyai alahan terhadap haiwan itu, tetapi tidak pernah mendakwa bahawa alahan itu boleh mengancam nyawanya dan dia juga telah bersetuju untuk duduk di jarak yang jauh dari haiwan itu.
Anila, kemudian kembali duduk dan melakukan kerjanya, namun tidak beberapa lama kemudian, beberapa wakil Southwest Airlines mula menyoalnya, sebelum memintanya untuk meninggalkan pesawat itu.
Ketika dia enggan berbuat demikian, mereka bertindak memanggil Polis Pengangkutan Maryland (MDTA).
“Polis menariknya dari kerusi itu, mengheretnya melalui lorong dengan seluar yang terdedah kerana terkoyak dan memalukannya.
“Penganiayaan yang dialami Anila sangat serius kerana beliau sekarang sedang hamil anak pertamanya,” kata peguam Anila dalam satu kenyataan.
Anila ditahan dan didakwa menghalang penangkapan, berkelakuan tidak senonoh, selain beberapa kesalahan kecil. – Agensi
The post Wanita muslim hamil dipaksa keluar dari pesawat kerana anjing appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan