Waspada agenda tersirat perjuangan feminisme
Oleh Athirah Huda Zalhe
SHAH ALAM, 18 Muharram 1439H, Khamis – Kebanyakan gerakan memperjuangkan feminisme di negara ini bukan atas dasar golongan teraniaya, sebaliknya menjadi ‘boneka’ yang ditakluk oleh badan-badan asing untuk membawa agenda tersembunyi.
Ahli Jawatankuasa Biro Luar Negara Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Nurhidayah Ismail berkata, gerakan feminisme juga mempunyai pelbagai jenis tahap keikhlasan yang boleh dinilai dari beberapa aspek.
“Jika di Malaysia, agaknya tahap keikhlasan yang bagaimana? Tinggi atau rendah? Pertama kita lihat bagaimana gerakan ini hidup.
“Jika ia hidup atas dasar menerima dana daripada badan-badan luar yang mempunyai agenda tertentu, maknanya tahap keikhlasannya mungkin rendah,” katanya dalam forum ‘Sama Rasa, Sama Rata’ pada Seminar Fiqh Wanita, Feminisme dan LGBTQ: Nafsu atau Wahyu? di sini, hari ini.
Daripada itu, katanya, kita boleh menilai sama ada gerakan tersebut benar-benar memperjuangkan hak wanita atau sebaliknya menjadi medium melaksanakan agenda tersembunyi pihak lain.
“Ia bukan lagi memperjuang tetapi mensabotaj wanita dan Islam itu sendiri. Lihat bagaimana mereka hidup, agenda mereka dan dana yang diperoleh.
“Mereka sangat pandai menggunakan emosi wanita untuk menarik ramai orang menyokong agenda mereka sehingga kita bersimpati. Tetapi bersimpati itu juga perlu bersifat objektif.
“Bukan sehingga menghasilkan reaksi yang melawan hukum syariah itu sendiri,” katanya.
Beliau turut merujuk seorang tokoh feminisme menerima anugerah dan pengiktirafan daripada sebuah negara asing, yang secara dasarnya tidak pernah bersikap baik terhadap wanita.
“Kenapa nak iktiraf dia, sedangkan negara mereka sendiri tidak betul, sebagai contoh Perancis. Mereka sangat menindas wanita muslim.
“Jika benar mahu perjuangkan wanita, mereka perlu perjuangkan semua. Justeru, kita mesti berhati-hati kerana ada agenda tersirat di sebalik perjuangan itu,” katanya.
The post Waspada agenda tersirat perjuangan feminisme appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan