19 ajaran sesat masih aktif di Selangor

SHAH ALAM, 18 Safar 1439H, Selasa – Sembilan belas daripada 39 ajaran, amalan dan fahaman yang menyeleweng serta sesat yang telah difatwakan di negeri Selangor, dilaporkan masih aktif.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tiga daripadanya didapati mampu mengancam ketenteraman awam serta berbahaya kepada negara.

Katanya, kerajaan negeri merekodkan 246 tangkapan dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tahun ini, berbanding 31 dan 75 tangkapan pada tahun 2016 dan 2015.

“Tiga ajaran tersebut adalah fahaman Syiah yang boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam kerana menolak prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah, serta ajaran Millah Abraham kerana menjalankan usaha menjadikan negara baharu selain menghasut pengikutnya melakukan apa juga tindakan untuk mencapai objektif ajaran meskipun bertentangan dengan norma masyarakat.

“Selain itu, fahaman kumpulan militan Daesh juga didapati boleh mengancam ketenteraman awam kerana mempromosi ideologi keganasan dan merekrut anggota untuk aktiviti itu,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khasim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya) mengenai ajaran sesat yang masih aktif di Selangor serta ancamannya kepada ketenteraman awam.

Ahmad Yunus berkata, usaha membanteras ajaran sesat itu mengambil masa panjang dan bukan gerak kerja yang mudah kerana ia memerlukan kerjasama berterusan daripada semua pihak.

The post 19 ajaran sesat masih aktif di Selangor appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian