Di manakan nilai bahasa Kebangsaan di kalangan peguam, mahkamah?

BANGI, 14 Safar 1439H, Jumaat – Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 menyatakan bahasa yang perlu digunakan dalam perbicaraan di mahkamah adalah bahasa Kebangsaan. Persoalannya di manakah pelaksanaan dan penghayatan terhadap peruntukan undang-undang ini?

Mengambil tamsilan dalam profesion guaman yang diceburinya, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar juga mempersoalkan di manakah nilai bahasa Kebangsaan apabila rata-rata perjanjian dimeterai oleh peguam adalah dalam bahasa Inggeris.

Malah, katanya, perbicaraan di mahkamah sivil yang lebih tinggi menggunakan bahasa Inggeris, kecuali segelintir peguam dan hakim yang berbicara dalam bahasa Kebangsaan.

“Alasan penghakiman pula rata-ratanya dinukilkan dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun saya perhatikan mahkamah bawahan seperti Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen sudah menggunakan bahasa Kebangsaan di tahap yang memuaskan.

“Ramai yang mengatakan banyak perkataan bahasa Melayu yang tidak dapat menggambarkan suatu istilah perundangan dengan tepat.

“Bagi saya ini bukanlah alasan untuk tidak memartabatkan bahasa kebangsaan. Pihak berautoriti perlu memainkan peranan aktif mengkaji istilah-istilah lama untuk diketengahkan bagi menggantikan perkataan lazim yang digunakan itu,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini..

Zainul Rijal berkata, sudah enam dasawarsa negara mencapai kemerdekaan, tetapi silibus bahasa Kebangsaan juga berlainan antara sekolah aliran kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan.

“Hasilnya kita dapati ada dalam kalangan pelajar sekolah menengah pun masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Apa akan jadi kepada pelajar ini apabila mereka sudah menamatkan pengajian menengah dan memasuki alam pekerjaan?,” katanya.

Beliau berkata, jaminan mempelajari bahasa ibunda memang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya kerajaan mengambil segala inisiatif melaksana usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan ini, kerana ia adalah bahasa perpaduan dan merupakan jati diri negara.

Peruntukan mengenai bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan Fasal (1) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

152. (1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa –

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.”

Berdasarkan peruntukan di atas, walaupun bahasa Kebangsaan bagi negara kita ialah bahasa Melayu tetapi seseorang boleh menggunakan (selain bagi maksud rasmi), mengajar atau belajar bahasa lain. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga mempunyai hak untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa kaum-kaum lain.

The post Di manakan nilai bahasa Kebangsaan di kalangan peguam, mahkamah? appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian