Hadi Awang bidas tuduhan Kesatuan Ulama Islam Sedunia pengganas

BANGI, 6 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Negara yang menyenaraikan pertubuhan Islam, seperti Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) dan Majlis Islam Antarabangsa ‘Massaa’ serta tokoh Islam sederhana sebagai pengganas, kini telah tunduk kepada Israel dan Zionis.

Negara-negara itu juga kini lemah apabila berhadapan dengan orang kafir, tetapi mereka bersikap keras ke atas orang yang beriman setelah mengamalkan politik neutral dengan Israel dan Zionis antarabangsa, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden IUMS itu berkata, negara-negara terbabit juga tidak mempunyai jati diri untuk membuat keputusan secara bebas berpandukan nilai-nilai mulia, walaupun sudah lama melalui zaman gelap dan penindasan, yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada mereka.

Tanpa menyebut nama negara-negara terbabit, beliau berkata, tindakan memutuskan hubungan dengan Qatar serta mengeluarkan ‘senarai baru pengganas’ bukanlah perkara yang mengejutkan.

“Negara-negara tersebut turut menyenaraikan organisasi-organisasi Islam yang lain seperti Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dan Majlis Islami. Selain itu, beberapa orang tokoh yang terkenal dengan sikap sederhana mereka terhadap pemahaman Islam juga turut disenaraikan sebagai pengganas.

“Negara yang mengeluarkan senarai pengganas ini telah mengamalkan politik peneutralan hubungan dengan Israel dan negara-negara dalam rangkaian Mason – Zionis Antarabangsa.

“Pendekatan politik sebegini sebenarnya ibarat kapal yang berlayar sesat di lautan samudera yang luas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, sebagai mengulas tindakan Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengeluarkan senarai baharu yang mereka dakwa kononnya pengganas dan menyokong keganasan.

Senarai terbaharu itu termasuk IUMS, Majlis Islam Antarabangsa ‘Massaa’ dan 11 individu, terutama yang ada kaitan dengan Qatar dan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata, walaupun negara-negara ini terkenal dengan kekayaan dari sudut sumber buminya, namun mereka miskin integriti serta sahsiah, selain turut hilang keagungan serta kemuliaannya.

“Lebih malang, mereka juga mengubah pendirian mereka mengikut hawa nafsu sehingga menjadi lemah di hadapan orang-orang kafir, namun bersikap keras ke atas orang-orang beriman dan memuliakan ‘tetamu-tetamu’ Zionis melebihi saudara seagama. Bahkan lebih parah, mereka telah bertindak keras ke atas negara yang seagama dengannya hanya kerana berbeza pendapat.

“Bangsa Arab asalnya menjadi mulia kerana Islam akan tetapi kini bakal hancur dengan kejahatan mereka sendiri yang mengiktiraf rejim Zionis serta mengabaikan Palestin dan kesuciannya. Mereka didorong rasa percaya dan kagum kepada penguasa-penguasa Yahudi Zionis melebihi kepercayaan kepada Allah, Islam dan umat Islam,” katanya.

Beliau memetik firman Allah SWT:

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم (38)

“Dan, jika kamu berpaling nescaya Allah akan mengganti(mu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).” (Muhammad: 38)

Allah juga membuat penegasan mengenai kuasa pemerintahan melalui firman-Nya dalam Surah Al-Imran:

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Imran: 26)

Arab Saudi, sekutu senaraikan Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengganas

The post Hadi Awang bidas tuduhan Kesatuan Ulama Islam Sedunia pengganas appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian