iGuru syor sekolah seluruh negara ikut Kuantan wajib solat berjemaah sebelum pulang
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 11 Rabiulawal 1439H, Khamis – Pelaksanaan mewajibkan semua sekolah di daerah Kuantan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah adalah usaha baik yang wajar dicontohi.
Memuji tindakan tersebut, Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menyokong usaha itu, dan berharap semua sekolah di setiap negeri juga boleh membuat pelaksanaan yang sama.
Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya berharap Pejabat Pendidikan Daerah dapat mencontohi dan meneladani tindakan positif tersebut dalam mendidik para pelajar Islam mengenai kepentingan solat terutama solat jemaah.
“iGuru menyeru pihak sekolah membudayakan budaya solat jemaah di sekolah masing- masing, terutama seawal pendidikan di sekolah rendah dan dilangsungkan sehingga ke peringkat menengah.
“Ini kerana, iGuru yakin pelajar yang sentiasa menjaga solat mendapat kejayaan yang cemerlang di dalam akademik serta berada pada tahap disiplin yang baik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas usaha Pendidikan Daerah Kuantan yang mewajibkan pelajar solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah, dalam usaha memperkukuhkan ketahanan diri mereka.
Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd Razali Mustafar berkata, menerusi program itu, pihaknya menyasarkan kira-kira 10 peratus daripada murid lelaki beragama Islam boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat; boleh membaca al-Quran dengan baik, menjadi imam, membaca doa selamat dan tahlil.
The post iGuru syor sekolah seluruh negara ikut Kuantan wajib solat berjemaah sebelum pulang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan