ismakualaterengganu

Kementerian kewangan siasat punca syarikat pasca GST ditutup

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1439H, Isnin – Kementerian Kewangan sedang menyiasat punca beberapa syarikat yang menutup perniagaan mereka pasca ...

KUALA LUMPUR, 24 Safar 1439H, Isnin – Kementerian Kewangan sedang menyiasat punca beberapa syarikat yang menutup perniagaan mereka pasca perlaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata siasatan yang dijalankan oleh kementerian adalah untuk mengenal pasti sama ada penutupan syarikat-syarikat tersebut berkait dengan perlaksanaan GST.

Ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata terdapat beberapa laporan yang diterima oleh kementerian menyatakan bahawa syarikat-syarikat ini ditutup kerana ingin mengelakkan rekod penyelewengan cukai mereka semasa SST dikesan oleh sistem GST.

”Sebahagian besar syarikat-syarikat yang beroperasi sejak 18 hingga 20 tahun yang lalu, membayar 10 peratus SST pada jumlah-jumlah tertentu. Namun, bila kita laksanakan GST, mereka telah membayar cukai tiga kali ganda lebih banyak dari SST,” katanya.

Jumlah bayaran cukai yang lebih tinggi itu berpunca daripada ketelusan GST yang menyebabkan syarikat tidak boleh menyembunyikan jumlah perniagaan mereka seperti yang dilakukan di bawah sistem SST.

”Jadi, apa yang sesetengah mereka buat, mereka telah tutup syarikat-syarikat lama itu kerana takut ‘track record’ mereka semasa era SST dahulu akan dikesan melalui GST, pindahkan segala aset kepada syarikat baharu yang mereka buka dan mulakan sistem GST di bawah syarikat ini.

“Ini dilakukan supaya kerajaan tidak dapat mengesan ‘track record’ mereka di bawah syarikat-syarikat lama,” katanya dan menambah bahawa pelbagai alasan diberikan bagi penutupan syarikat tersebut, seperti hilang minat berniaga dan mahu menyerahkan perniagaan kepada orang lain.

“Semua ini alasan yang akan menjadi isu undang-undang. Jadi apa yang kita lakukan, kita kata, okay. Sekiranya ingin menutup perniagaan, baiklah. Tapi kita akan buat pernyiasatan ke atas syarikat yang ditutup itu,” katanya.

GST bermula pada 1 April, 2015 pada kadar 6.0 peratus menggantikan SST di Malaysia dan diperkenalkan dengan 553 jenis barangan dan perkhidmatan berkadar sifar dan 25 lagi dikecualikan GST. – Bernama

The post Kementerian kewangan siasat punca syarikat pasca GST ditutup appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Related

TERKINI 8135214413740967592

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item