Kemungkinan stesen angkasa China jatuh di Malaysia rendah

KUALA LUMPUR, 27 Safar 1439H, Khamis – Kemungkinan Stesen Angkasa China Tiangong-1 jatuh di Malaysia adalah sangat rendah, kata Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad.

Beliau berkata, berdasarkan keluasan negara iaitu 329, 960.22 kilometer persegi, kebarangkalian untuk Malaysia menjadi tempat jatuhnya serpihan hanyalah 0.09 peratus dan kebarangkalian untuk Kuala Lumpur yang berkeluasan 243.65 km persegi pula adalah kira-kira 0.0000699 peratus sahaja.

“Berdasarkan kiraan, luas kawasan yang dirangkumi 43 darjah utara hingga ke 43 darjah selatan ini, melibatkan banyak negara lain di dunia termasuk Malaysia dan mempunyai keluasan anggaran kira-kira 347, 860, 000 km persegi.

“Selain daripada Malaysia khususnya Kuala Lumpur, kawasan ini turut meliputi Singapura (1.35 darjah utara); Sydney, Australia (33.86 darjah selatan); Florida, Amerika (27.66 darjah utara) dan Beijing, China (39.90 darjah utara),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 14 September 2016, Penolong Pengarah di China Manned Space Engineering (CMSE), Wu Ping mengumumkan bahawa stesen angkasa yang dilancarkan pada 29 Sept 2011 itu akan jatuh ke atmosfera bumi pada penghujung tahun ini, selepas misi selama enam tahun.

Noordin berkata, berdasarkan nota pihak China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan komponen dan struktur daripada Tiangong-1 akan musnah terbakar semasa pergeseran dengan atmosfera dan kebarangkalian untuk serpihan itu mendatangkan kerosakan terhadap aktiviti di bumi termasuk penerbangan adalah sangat rendah.

Beliau berkata, melalui nota itu juga, China memaklumkan bahawa aktiviti pemantauan dan ramalan akan ditingkatkan serta ramalan masa ‘re-entry’ akan disiarkan.

Maklumat lanjut juga akan diperoleh daripada Jawatankuasa Koordinasi Serpihan Angkasa Lepas Antara Agnesi dan status orbit serta sebarang maklumat berkaitan akan disiarkan pada laman sesawang http://www.cmse.gov.cn/, katanya.

Beliau berkata, ramalan akhir berkenaan masa dan tempat jatuhnya Tiangong-1 akan dimaklumkan oleh pihak China untuk perhatian Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBBr (UNOOSA) dan Setiausaha Agung PBB.

“Penyusutan stesen Angkasa Tiangong-1 ini sedang diperhatikan dan dipantau secara teliti oleh pelbagai agensi angkasa seperti ESA, NASA, JAXA dan CNSA. ANGKASA yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi–agensi ini juga sentiasa memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Noordin berkata, bagi tempoh jangkaan jatuh ini, ANGKASA akan membuat pemantauan harian altitud Tiangong-1 dan akan membuat pemakluman lanjut kepada orang awam apabila diperlukan.- Bernama

The post Kemungkinan stesen angkasa China jatuh di Malaysia rendah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian