‘Kepala bapak kau’ kata kesat Najib, biadap dan kurang ajar: PAS

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Safar 1439H, Rabu – Kenyataan ‘kepala bapak kau’ yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan merasmikan Perhimpunan Agung MCA, Ahad lepas, adalah biadap, kurang ajar dan tidak memberi gambaran baik mengenai seorang pemimpin negara.

Menyifatkan ia sebagai amat tidak sopan dan memalukan negara, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, beliau tidak menyangka perkataan sebegitu boleh terpacul daripada mulut seorang Perdana Menteri.

“Perkataan ‘Kepala bapak kau’ yang diucapkan beliau itu menggambarkan sikap biadap, kurang ajar, samseng, budak nakal, dan lain-lain yang tidak beretika. Bayangkan ucapan beliau ditonton oleh jutaan rakyat dalam negara dan ditonton juga oleh masyarakat antarabangsa.

“Apakah persepsi yang boleh diterjemahkan melalui ucapan beliau selain persepsi negatif yang menggambarkan beliau dalam keadaan tertekan, terdesak, sakit jiwa dan lain-lain,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Malah, beliau berkata, sikap Najib itu boleh membuatkan masyarakat dunia menganggap budaya dan kesopanan masyarakat Malaysia telah berubah dengan drastik.

“Jika sekalipun PM tertekan dengan fitnah yang dilemparkan oleh musuh politiknya, tidak wajar beliau mengeluarkan kata-kata kesat.

“Beliau seperti mahu membalas dendam dengan kata-kata kesat bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggelar beliau sebagai ‘Lanun Bugis’,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Riduan berkata, hakikat yang tidak boleh disembunyikan apabila Perdana Menteri mula bercakap kasar dan kesat ialah kata-kata rakyat pula akan jauh lebih kasar dan kesat.

“Peribahasa Melayu menyebut, ‘bapak borek, anak rintik’, usah merasa hairan jika yang keluar dari mulut dan tulisan rakyat Malaysia adalah kata-kata kesat penuh dengan cacian dan makian kerana mereka mencontohi pemimpin negara.

“Jika para pembesar negara saling bercakaran dengan kata-kata kesat, tidak dapat dibayangkan penyokong dan pengikut parti-parti politik yang bergaduh dalam politik dan pilihan raya akan datang,” katanya.

Kenyataan ‘kepala bapak kau’ disebut Najib dalam Persidangan MCA di Ibu Pejabat MCA, Kuala Lumpur beberapa hari yang lalu, ditujukan kepada pakatan pembangkang yang berhasrat untuk mengkaji semula kerjasama Malaysia-China sekiranya berjaya mengambilalih pentadbiran Putrajaya.

Sementara itu, Bekas Perdana Menteri yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu twitnya di laman Twitter turut meluahkan rasa terkejut dengan kata-kata Najib.

“Saya tak sangka seorang Perdana Menteri, anak kepada Tun Razak yang kita semua hormati mengeluarkan kata sebegini di khalayak umum,” katanya.

The post ‘Kepala bapak kau’ kata kesat Najib, biadap dan kurang ajar: PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian