Kerajaan tak serius martabat Bahasa Kebangsaan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Safar 1439H, Sabtu – Kerajaan perlu lebih serius membuktikan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dengan sentiasa menjadikannya keutamaan untuk semua sektor dan masyarakat di negara ini.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Abdul Rahman Mat Dali berkata, meskipun pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan, kononnya untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan, ianya masih dilihat lemah dan tidak sejajar.

“Malaysia antara satu-satu negara yang dianggap tidak menghormati bahasa ibunda sendiri. Malah lemah identiti negara walaupun telah lama menikmati kemerdekaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon, yang mengatakan kerajaan tidak berhasrat mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi syarikat swasta, kerana mereka berurusan dengan pihak luar.

Abdul Rahman menegaskan, biarpun kerajaan memberi kelonggaran atas faktor tersebut, namun satu sempadan juga perlu dibuat supaya penggunaan bahasa Melayu tidak tenggelam untuk dipraktikkan dalam syarikat swasta.

“Rakyat lebih mengagumi bahasa asing daripada Bahasa Kebangsaan sendiri. Keadaan ini jelas tidak menunjukkan rasa hormat kepada Bahasa Kebangsaan sendiri.

“Malah ada yang langsung tidak berasa bangga dengan Bahasa Kebangsaan, sebaliknya sudah menjadi kumpulan ‘anglophile’ iaitu mengagumi bahasa dan budaya Barat. Keadaan ini semakin parah,” katanya.

Jelas beliau, pelbagai inisiatif kerajaan bakal dilihat sia-sia sekiranya ia hanya terlaksana dalam sektor tertentu negara dan tidak secara menyeluruh.

“Kita lihat hanya beberapa sektor sahaja yang diberi peranan memartabatkan Bahasa Kebangsaan, seperti sektor kerajaan, pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tetapi sektor lain tidak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan lebih bertegas memastikan bahasa Melayu dimartabatkan dalam semua sektor, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perundangan dan swasta.

The post Kerajaan tak serius martabat Bahasa Kebangsaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian